Tapak warisan Iran rosak teruk akibat konflik Asia Barat

FOTO REUTERS

TEHRAN, 1 April – Iran berdepan kerosakan teruk khususnya terhadap tapak warisan dunia susulan konflik berterusan dengan Amerika Syarikat dan Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hassan Fartousi menegaskan warisan budaya dan semula jadi amat terdedah dalam situasi konflik.
  • Menyasarkan warisan semula jadi dianggap menyerang identiti manusia, kata pegawai UNESCO.
  • Beberapa tapak penting dilaporkan rosak termasuk Istana Golestan, sebuah masjid bersejarah dan kompleks istana Isfahan.
  • Krisis turut merebak ke seluruh Asia Barat, mengorbankan ribuan nyawa dan mengganggu bekalan tenaga serta harga komoditi penting.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Iran, Hassan Fartousi, berkata warisan budaya dan semula jadi merupakan antara aset paling terdedah dalam situasi konflik.

“Tiada yang lebih tidak berdaya daripada warisan budaya dan alam semula jadi.

“Menyasarkan warisan semula jadi bermakna menyasarkan identiti manusia,” katanya.

Awal bulan ini, UNESCO menyatakan kebimbangan terhadap nasib tapak warisan dunia di Iran dan rantau berkenaan, selepas beberapa lokasi penting dilaporkan mengalami kerosakan.

Antaranya termasuk Istana Golestan di Tehran yang sering dibandingkan dengan Istana Versailles di Perancis, selain sebuah masjid bersejarah dan kompleks istana di Isfahan.

Pada 11 Mac lalu, UNESCO turut menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik supaya melindungi tapak warisan luar biasa di rantau itu daripada terus menjadi sasaran.

Konflik yang tercetus pada 28 Februari lalu susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran kini merebak ke seluruh Asia Barat, mengorbankan ribuan nyawa serta mencetuskan gangguan besar terhadap bekalan tenaga global.

Krisis itu turut memberi kesan kepada ekonomi dunia apabila harga minyak, gas dan baja melonjak, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi. – REUTERS