
KUALA LUMPUR, 31 Mac– Pemanduan bawah pengaruh alkohol tidak seharusnya dianggap sebagai kecuaian, sebaliknya risiko yang direka sendiri oleh pelaku.
- Keluarga mangsa berhak memfailkan tuntutan sivil menuntut pampasan untuk kehilangan kasih sayang, kesusahan hidup dan penderitaan emosi.
- Pendekatan lebih holistik diperlukan: sekatan tambahan, program rehabilitasi dan tanggungjawab terhadap kesan berpanjangan kepada keluarga.
- Wujudkan dana pampasan kerana proses sivil mengambil masa panjang dan denda jenayah dibayar kepada kerajaan.
Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, beliau memandang serius isu tersebut.
Tegas beliau, perbuatan itu melibatkan nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.
“Dari sudut pandang kriminologi, perkara ini boleh dijangka dan dielakkan.
Apabila seseorang individu mengambil alkohol, dia sedang melakukan tingkah laku berisiko dan akhirnya boleh hilang kawalan ketika memandu,” katanya.
Menurut beliau, keluarga mangsa berhak memfailkan tuntutan sivil dan menuntut pampasan terhadap pelaku.
“Aspek kehilangan kasih sayang, kesusahan hidup serta penderitaan emosi boleh diambil kira dalam tuntutan tersebut.
Dalam situasi ini, pasangan dan anak-anak terpaksa menanggung beban kehidupan selepas kehilangan ketua keluarga,” katanya.
Tambah Dr Haezreena, pendekatan lebih holistik termasuk sekatan tambahan dan program rehabilitasi perlu diperkukuh.
“Saya tidak menggemari hukuman yang hanya melibatkan penjara dan denda semata-mata.
Pelaku juga perlu bertanggungjawab terhadap kesan berpanjangan kepada ahli keluarga mangsa,” katanya.
Seorang peguam, Iqhmar Syafiq Mohd Azmi berkata, keluarga mangsa berhak menyaman pelaku di mahkamah sivil walaupun pelaku telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah jenayah.
“Harus difahami perbezaan matlamat antara kedua-dua mahkamah.
Mahkamah jenayah bertujuan menghukum pelaku, manakala mahkamah sivil memberi pampasan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Beliau berkata, wang denda dalam kes jenayah dibayar kepada kerajaan.
Sebaliknya, ganti rugi dalam kes sivil akan dibayar kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Norazlina Abdul Aziz berkata, penambahbaikan boleh dilaksanakan melalui penubuhan dana pampasan.
“Mungkin pada masa hadapan, satu dana pampasan boleh diwujudkan kerana proses mendapatkan pampasan melalui saluran sivil mengambil masa yang panjang,” katanya.