Cuaca panas: 507 sekolah di Terengganu diarah sedia bekalan air mencukupi

FOTO RTM

KUALA NERUS, 29 Mac Semua 507 sekolah di Terengganu diarahkan menyediakan bekalan air minuman mencukupi kepada pelajar susulan cuaca panas yang melanda ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekolah diarahkan menyediakan bekalan air minuman mencukupi sepanjang pembelajaran dan aktiviti untuk mengelakkan risiko strok haba.
  • Sekolah berasrama perlu menyediakan bekalan air sentiasa, termasuk menggunakan mesin penapis air.
  • JPNT bekerjasama dengan Syarikat Air Terengganu bagi mengesan dan menangani kebocoran paip segera.
  • JPNT sentiasa berhubung dengan PKD dan KKM; sekolah diminta hubungi PKD jika pelajar menunjukkan simptom strok haba.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kamsah @ Kamal Mohamed berkata arahan itu melibatkan kira-kira 259,000 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di seluruh negeri.

“Fokus utama adalah memastikan pelajar mendapat bekalan air mencukupi sepanjang tempoh pembelajaran serta aktiviti sekolah bagi mengelakkan risiko strok haba,” katanya ketika ditemui selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tumbuh, di sini hari ini.

Sementara itu bagi sekolah berasrama, bekalan air minuman perlu disediakan sepanjang masa termasuk menggunakan kemudahan mesin penapis air.

Kamsah berkata JPNT turut mengambil langkah proaktif dengan menjalin kerjasama bersama Syarikat Air Terengganu bagi memastikan sebarang isu kebocoran paip di sekolah dapat dikesan dan ditangani segera.

“Sekiranya berlaku kebocoran air di kawasan sekolah, kita minta tindakan segera supaya bekalan tidak terputus.

“JPNT juga sentiasa berhubung dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan maklumat serta nasihat berkaitan cuaca dan tanda-tanda strok haba,” katanya.

Beliau berkata pihak sekolah juga diminta segera menghubungi PKD sekiranya terdapat pelajar menunjukkan simptom strok haba bagi tindakan lanjut.

Menurut beliau, setakat ini keadaan cuaca di Terengganu masih terkawal dengan suhu maksimum sekitar 33 darjah Celsius.

Dalam pada itu, JPNT turut mengedarkan garis panduan kepada semua sekolah.

Antaranya termasuk memberi kelonggaran kepada pelajar daripada memakai tali leher atau mengancing butang baju hingga paras leher sekiranya cuaca semakin panas.

Pengetua dan guru besar juga diberi kuasa membenarkan pelajar memakai pakaian sukan atau kemeja-T yang sopan mengikut kesesuaian keadaan.