Tragedi Merbok: Jenazah pasangan suami isteri selamat dikebumi

FOTO RTM

SUNGAI PETANI, 27 Mac – Jenazah pasangan suami isteri yang ditemukan maut dalam kejadian tragis di Kampung Belau, Merbok pada Rabu, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Atiq, Merbok kira-kira pukul 9 malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga beranak ditemukan maut di kediaman mereka, menurut laporan media sebelum ini.
  • Mangsa pasangan: Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya Suraya Man, 53.
  • Mayat pasangan ditemukan dalam keadaan tidak sempurna; anak Muhammad Shakir, 29, ditemui di tingkat atas dengan kecederaan pada leher.
  • Jenazah pasangan dikebumikan bersebelahan pusara anak mereka; kira-kira 300 keluarga dan penduduk hadir memberi penghormatan.

Mangsa, Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya Suraya Man, 53, dikebumikan bersebelahan antara satu sama lain.

Kubur pasangan itu turut terletak bersebelahan pusara anak mereka, Muhammad Shakir Zulkairi Abdul Aziz, 29, yang telah dikebumikan sehari sebelum itu.

Terdahulu, dua kenderaan jenazah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa jenazah tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 7 malam selepas dituntut ahli keluarga dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sekitar pukul 5.25 petang.

Kira-kira 300 individu terdiri daripada ahli keluarga serta penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir dalam majlis pengebumian yang berlangsung selepas solat Maghrib.

Sementara itu, anak tunggal Zikri, Muhammad Shahmi, 24, yang merupakan anggota tentera dan bertugas di Kuala Lumpur, enggan ditemu bual ketika ditemui.

Media sebelum ini melaporkan tiga beranak itu ditemukan maut dalam keadaan tragis di kediaman mereka di kampung berkenaan.

Mayat pasangan suami isteri tersebut ditemukan dalam keadaan tidak sempurna, manakala mayat Muhammad Shakir ditemui di tingkat atas rumah dengan kesan kecederaan pada leher.