Konflik Asia Barat cetus langkah kecemasan tenaga global

Kenderaan beratur di stesen minyak susulan kebimbangan bekalan bahan api akibat konflik AS-Israel dengan Iran di Sri Lanka/Foto REUTERS

PARIS, 25 Mac – Beberapa negara mengambil langkah segera mengurus krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat yang terus menjejaskan bekalan dan meningkatkan kos bahan api global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sri Lanka arah padam lampu jalan, papan neon dan papan iklan untuk kurangkan penggunaan tenaga 25% serta kurangkan pendingin hawa institusi kerajaan.
  • Harga bahan api di Sri Lanka dinaikkan kira-kira satu pertiga; presiden gesa pemilik kenderaan elektrik elak pengecasan waktu malam.
  • Bangladesh naikkan harga bahan api pesawat 79%, menjadikan kenaikan keseluruhan 111% sejak perang bermula.
  • Ireland potong cukai eksais petrol dan diesel, dengan potongan sehingga 20 sen seliter untuk diesel dan 15 sen untuk petrol.

Di Sri Lanka, kerajaan mengarahkan lampu jalan, papan tanda neon dan papan iklan dipadam sebagai sebahagian usaha mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 25 peratus serta menangani kekurangan bekalan.

Jurucakap kerajaan, Nalinda Jayatissa berkata, semua institusi kerajaan turut diarahkan mengurangkan penggunaan pendingin hawa, selain harga bahan api dinaikkan kira-kira satu pertiga.

Malah, Presiden Anura Kumara Dissanayake turut menggesa pemilik kenderaan elektrik supaya mengelakkan pengecasan pada waktu malam bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem bekalan elektrik.

Di Bangladesh, pihak berkuasa menaikkan harga bahan api pesawat sebanyak 79 peratus susulan peningkatan kos akibat konflik, menjadikan kenaikan keseluruhan mencecah 111 peratus sejak perang bermula.

Sementara itu, Ireland mengambil pendekatan berbeza apabila mengurangkan cukai eksais petrol dan diesel bagi mengekang kenaikan harga di stesen minyak, dengan potongan sehingga 20 sen seliter untuk diesel dan 15 sen bagi petrol.

Perkembangan itu mencerminkan tekanan berterusan terhadap pasaran tenaga global, dengan negara-negara bertindak sama ada mengurangkan penggunaan atau menstabilkan harga bagi melindungi pengguna dan ekonomi domestik. – AFP