
PUTRAJAYA, 24 Mac – Malaysia tidak berdepan risiko “bankrap air” kerana sumber air mentah masih mencukupi, namun transformasi pengurusan sumber air perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan yang selamat, stabil dan mampan untuk jangka panjang.
- Negara tidak berdepan 'bankrap air' tetapi perlu transformasi pengurusan sumber air untuk bekalan selamat, stabil dan mampan jangka panjang.
- Cabaran utama ialah pengurusan bersepadu, perlindungan lembangan, dan kecekapan penyampaian bagi mengurus, melindungi dan mengoptimumkan sumber air.
- Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) nasional sekitar 34.3% menyebabkan kehilangan besar; pengurangan kepada 25% jimatkan air tanpa loji baharu.
- Permintaan air meningkat menjelang 2030; perlu perancangan strategik, teknologi digital, pembiayaan inovatif dan kesedaran awam tentang penggunaan berhemah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, negara menerima purata lebih 2,500 milimeter hujan setahun dengan anggaran sumber air boleh diperbaharui melebihi 580 bilion meter padu.
“Namun begitu, cabaran sebenar yang perlu ditangani adalah dari sudut pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan lembangan sungai serta kecekapan sistem penyampaian air negara.
“Cabaran utama negara bukan kekurangan air, tetapi bagaimana kita mengurus, melindungi dan mengoptimumkan sumber air secara strategik bagi menjamin sekuriti, adaptasi dan kelestarian bekalan air jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk pengurusan storan air, pencemaran sungai, pencerobohan kawasan tadahan serta kekurangan integrasi sumber air alternatif.
Beliau turut memaklumkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) nasional kini sekitar 34.3 peratus, bersamaan kira-kira 6,000 juta liter sehari air terawat yang hilang.
“Kehilangan ini dianggar mencecah hampir RM2 bilion setahun.
“Jika kadar NRW dapat dikurangkan kepada 25 peratus, negara mampu menjimatkan kira-kira 2,000 juta liter sehari tanpa perlu membina loji rawatan air baharu,” katanya.
Dalam masa sama, permintaan air negara dijangka terus meningkat kepada lebih 25,000 juta liter sehari menjelang 2030, sekali gus memerlukan perancangan lebih strategik.
Sehubungan itu, penggunaan teknologi digital serta pendekatan pembiayaan baharu termasuk kerjasama awam-swasta perlu diperkasa bagi memastikan kelestarian sektor air negara.
Beliau turut menyeru masyarakat meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan air secara berhemah memandangkan kadar penggunaan domestik masih melebihi tahap disyorkan.