
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terus memperkukuh proses urusan import bahan binaan menerusi pelaksanaan pensijilan di peringkat huluan bagi memastikan proses kemasukan bahan tersebut dapat dijalankan dengan lebih lancar.
- CIDB menubuhkan pusat sehenti di Shanghai sebagai rujukan pengeluar China untuk memastikan barangan memenuhi standard Malaysia.
- Kerjasama dengan makmal ujian di China membolehkan pengujian dan pensijilan awal sebelum penghantaran ke Malaysia.
- Sijil Kelulusan (CoA) dikeluarkan terlebih dahulu dan audit berkala di China memastikan kawalan kualiti dan ketelusan rantaian bekalan.
Pengerusinya, Datuk Yusuf Abd Wahab berkata, usaha itu diperkukuh selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk memudahkan proses import bahan binaan dari luar negara bagi menangani peningkatan kos bahan pembinaan dalam negara.
“Melalui anak syarikat kami, baru-baru ini kami telah menubuhkan sebuah pusat sehenti (one-stop centre) seperti pusat maklumat di Shanghai di bawah CIDB Holdings.
“Pusat ini berfungsi sebagai rujukan kepada pengeluar dari China bagi memastikan barangan yang dihasilkan menepati standard yang ditetapkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita RTM.
Menurut beliau, CIDB turut bekerjasama dengan makmal-makmal ujian di China bagi membolehkan proses pengujian dan pensijilan dilakukan lebih awal di negara asal sebelum barangan dihantar ke Malaysia.
“Sijil Kelulusan (CoA) akan dikeluarkan terlebih dahulu sebelum barangan dibawa masuk ke Malaysia. Ini dapat mengelakkan kelewatan, khususnya di pelabuhan,” katanya lagi.
Jelas beliau, pendekatan tersebut dijangka dapat mempercepatkan rantaian bekalan bahan binaan, terutama ketika industri memerlukan bekalan yang cepat dan konsisten,
Bagaimanapun, CIDB menegaskan kawalan kualiti kekal menjadi keutamaan dengan audit berkala akan dilaksanakan di China bagi memastikan proses pensijilan tidak disalah guna atau diluluskan secara sewenang-wenangnya.
Langkah ini juga selari dengan usaha memperkukuh ketelusan dalam rantaian bekalan, selain memastikan hanya bahan binaan yang benar-benar mematuhi piawaian Malaysia dibenarkan memasuki pasaran tempatan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melonggarkan syarat import bagi memastikan kos bahan binaan kekal rendah dan tidak membebankan rakyat.