‘Jalan tikus’ jadi fokus utama Op Khas Aidilfitri PPM

FOTO RTM

BATU UBAN, 17 Mac – Risiko penggunaan ‘jalan tikus’ oleh warga asing untuk pulang ke negara asal dan kembali semula ke Malaysia secara haram menjadi antara fokus utama dalam Op Khas Aidilfitri tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan perairan dari Kuala Sepang, Selangor hingga Kuala Perlis kerana kawasan berisiko tinggi laluan keluar masuk PATI.
  • Kedudukan geografi berhampiran sempadan negeri, terutamanya Selangor dan Perak, menjadikan kawasan mudah dicerobohi.
  • 18 aset termasuk kapal, bot ronda dan Unit Risikan Marin digerakkan, manakala 111 petugas melaksanakan rondaan serta pemantauan 24 jam.

Operasi di bawah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu itu melibatkan pemantauan perairan dari Kuala Sepang, Selangor hingga Kuala Perlis, kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi sebagai laluan keluar masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, ACP Jaffri Bidin berkata, kedudukan geografi yang berhampiran dengan sempadan negara jiran khususnya di Selangor dan Perak menjadikan kawasan berkenaan mudah dicerobohi.

Beliau berkata pihaknya percaya terdapat PATI, khususnya dari Indonesia, yang akan menggunakan laluan laut untuk pulang ke negara asal sebelum cuba memasuki semula Malaysia secara haram.

“Kemasukan pendatang asing tanpa izin melalui jalan perairan terutama sekali daripada Indonesia, kita percaya mereka akan menggunakan laluan ini untuk pulang ke negara asal dan kembali semula ke Malaysia secara haram.

“Kita akan terus pantau dari semasa ke semasa terutama musim perayaan. Pemantauan dilakukan dari Selangor hingga Kuala Perlis kerana jarak sempadan yang terlalu hampir, khususnya di Selangor dan Perak,” katanya demikian selepas menghadiri program penyerahan bungkusan kuih raya kepada anggota bertugas di Batu Uban, sebagai penghargaan kepada 111 petugas yang mengawal perairan sepanjang Aidilfitri kali ini.

Sehubungan itu, sebanyak 18 aset termasuk kapal dan bot ronda serta Unit Risikan Marin digerakkan secara intensif bagi memastikan kawalan lebih ketat sepanjang tempoh operasi.

Penugasan khas itu melibatkan seramai 111 petugas terdiri daripada enam pegawai kanan dan 105 anggota pangkat rendah yang menjalankan rondaan serta pemantauan 24 jam.