
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Semangat Ramadan terus disemarakkan menerusi Program Jalinan Ukhwah Bubur Lambuk anjuran Jabatan Penyiaran Terengganu dengan kerjasama PERTIMA Terengganu.
- Program bertujuan menghidupkan tradisi bubur lambuk dan mengeratkan hubungan antara agensi dengan masyarakat.
- Sebanyak 400 pek bubur lambuk diagihkan bersama air mineral yang dibekalkan oleh Sabasun.
- Program mendapat sambutan meriah, kadangkala tidak mencukupi dan akan ditambah jumlah tahun hadapan.
Program tahunan itu bertujuan untuk menghidupkan tradisi penyediaan bubur lambuk sebagai juadah berbuka puasa di samping mengeratkan hubungan antara agensi dengan masyarakat.
Pengurus Besar PERTIMA Terengganu, Syed Mohd Asdi berkata pengagihan bubur lambuk telah dilaksanakan sejak awal Ramadan tahun ini.
“Alhamdulillah, setiap tahun program ini mendapat sambutan yang sangat meriah dan menggalakkan. Malah kadang-kadang tidak mencukupi. Insya-Allah tahun depan kita akan sediakan lebih banyak.”
“Untuk kali ini, sebanyak 400 bungkusan bubur lambuk bersama air mineral yang dibekalkan oleh Sabasun diagihkan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media selepas mengagihkan bubur lambuk kepada pelanggan sebuah pasar raya, di sini.
Program Jalinan Ukhwah Bubur Lambuk turut disertai barisan penyampai radio TERENGGANUfm yang beramah mesra bersama masyarakat setempat.