
IPOH, 15 Mac – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kira-kira 1,000 tan mineral kuarza mentah, 660 beg jumbo kuarza siap diproses serta pelbagai jentera pemprosesan dianggarkan bernilai RM5.16 juta dalam operasi membanteras kegiatan memproses bahan mineral secara haram di Sungai Siput, pada Jumaat.
- Operasi bersepadu PGA bersama JMG Perak dan IPD Sungai Siput membanteras kilang pemprosesan mineral secara haram.
- Kilang dipercayai beroperasi hampir setahun, tanah putih diproses melalui penapisan, pencucian, mampatan dan pengasingan untuk tingkatkan kualiti.
- Seorang pengurus tempatan dan empat warga Bangladesh ditahan; kes disiasat di bawah Akta Pembangunan Mineral dan Akta Imigresen, boleh didenda atau dipenjara.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata Operasi Bersepadu Khazanah itu dijalankan bersama Cawangan Risik Batalion 3 Briged Utara PGA dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.
Menurut beliau, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang dipercayai bertindak sebagai pengurus tapak serta empat lelaki warga Bangladesh berumur antara 35 hingga 43 tahun.
“Siasatan awal mendapati kilang haram itu dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira setahun lalu dan semua tangkapan serta rampasan dibuat di lokasi kilang tersebut.
“Hasil pemeriksaan di lokasi turut menemukan sejumlah besar tanah putih atau kuarza yang sedang diproses selain pelbagai mesin dan jentera yang digunakan bagi tujuan pemprosesan mineral berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
SAC Balveer Singh berkata modus operandi kegiatan itu adalah dengan membeli tanah putih campuran dari kawasan kuari sebelum diproses melalui kaedah menapis, mencuci, memampatkan serta mengasingkan mineral bagi meningkatkan kualitinya.
“Mineral kuarza yang telah mencapai gred tinggi kemudian dijual pada harga lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi.
Kes disiasat oleh JMG Perak di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Perlesenan) 2016 serta Akta Pembangunan Mineral 1994 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengurus tapak turut disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang tanpa izin.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja.
Empat pekerja warga asing berkenaan pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.