
BUKIT MERTAJAM, 14 Mac – Seramai 12 mangsa termasuk kanak-kanak terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler dengan tiga kenderaan di Kilometer 137.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di antara laluan Juru ke Permatang Pauh di sini, petang tadi.
- Panggilan kecemasan diterima pada 3.12 petang; anggota Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikejarkan ke lokasi.
- Seorang lelaki 42 tahun cedera parah; wanita dan kanak-kanak dilaporkan cedera ringan.
- Dua mangsa tersepit dikeluarkan orang awam; bomba membersih sisa kemalangan, beri rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.12 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa lelaki berusia 42 tahun cedera parah, manakala wanita dan kanak-kanak cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata dua mangsa yang tersepit bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Beliau berkata pihaknya mengambil tindakan dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat, manakala kesemua mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada 5.17 petang.