Kerajaan pastikan pembangunan seimbang di JS-SEZ

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kerajaan telah melaksanakan kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh bagi memastikan keseimbangan pembangunan di Kawasan Zon Ekonomi Khas Johor- Singapura (JS-SEZ).

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek pembangunan dikenal pasti untuk menarik pelaburan asing berkualiti tinggi yang merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
  • Langkah dilaksanakan untuk memastikan penglibatan pemegang taruh tempatan dan mengelakkan pelaburan tempatan terpinggir.
  • Pengukuhan rantaian bekalan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti bagi syarikat tempatan termasuk IKS.
  • Belanjawan 2026 sediakan geran, padanan, pembiayaan sehingga RM5 bilion serta peruntukan latihan RM3 bilion dan program Talencorp RM10 juta.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pelbagai projek pembangunan dikenal pasti bagi menarik pelaburan asing berkualiti tinggi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Menyedari pembangunan JS-SEZ tidak akan lengkap tanpa penglibatan pelbagai pemegang taruh tempatan, beberapa langkah telah dilaksanakan bagi memastikan pelaburan tempatan tidak terpinggir.

Ini termasuk pengukuhan rantaian bekalan tempatan dan pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti syarikat tempatan yang akan memberi manfaat kepada pelaburan dan pembangunan industri sokongan, termasuk industri kecil dan sederhana (IKS).

“Selain itu dibawah Belanjawan 2026 kerajaan telah memberikan bantuan geran sokongan dan padanan serta pembiayaan khusus kepada usahawan Bumiputera, wanita dan belia Melayu melalui MARA, PNB, BSN, SME BANK dengan peruntukan sehingga RM5 bilion secara keseluruhan.

“Beberapa program lain seperti peluang latihan dibawah HRD Corp terutamanya bagi sektor teknologi tinggi, digital peralihan tenaga dengan peruntukkan RM3 bilion dan program latihan industri untuk perusahaan kecil dan sederhana lite oleh Talencorp yang berjumlah RM10 juta turut disediakan”, katanya di Dewan Negara.

Penjelasan tersebut menjawab soalan dibangkitkan Senator Datuk Rosni Sohar.