
KUALA LUMPUR, 6 Mac – Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk menamatkan badi kemenangan ke atas England selama 23 tahun tidak kesampaian apabila tewas 1-7 pada aksi separuh akhir Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir.
- Perlu menang perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Pakistan atau Jepun untuk mengekalkan peluang ke Piala Dunia 2026.
- England menjaringkan empat gol daripada lima pukulan sudut penalti; beberapa kesilapan individu dan penjaga gol merugikan Malaysia.
- Jika tewas, kelayakan Malaysia bergantung kepada kedudukan ranking dunia berbanding pasukan keempat dari kelayakan Santiago, Chile.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terlepas peluang mengesahkan tiket automatik ke Piala Dunia dan kini perlu memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga bagi memastikan peluang ke pentas dunia terus hidup.
England membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Sam Ward pada minit ke-19 sebelum Samuel Hooper menggandakan kelebihan melalui situasi sama pada minit ke-36.

Pasukan lawan terus menguasai permainan pada separuh masa kedua menerusi jaringan Thomas Sorsby dan Stuart Rushmere sebelum Malaysia meraih gol saguhati menerusi Faizal Saari pada minit ke-50.
Namun England menambah tiga lagi jaringan menerusi Zachary Wallace, Rushmere dan Hooper untuk melengkapkan kemenangan besar 7-1.
Skuad kendalian Sarjit Singh kini perlu bangkit dalam aksi penentuan tempat ketiga menentang sama ada Pakistan atau Jepun.

Sarjit berkata, anak buahnya sebenarnya menampilkan permainan yang baik namun beberapa kesilapan individu dan kegagalan mengekang pukulan sudut penalti lawan menjadi punca kekalahan besar tersebut.
“Pemain sebenarnya bermain dengan baik, tetapi keputusan tidak memihak kepada kita. England menjaringkan empat gol daripada lima pukulan sudut penalti selain beberapa kesilapan individu termasuk kesilapan penjaga gol.
“Apa yang penting sekarang kita perlu bangkit dan menang pada perlawanan esok,” katanya.

Jika gagal meraih kemenangan, peluang Malaysia ke Piala Dunia 2026 akan bergantung kepada kedudukan ranking dunia berbanding pasukan yang menamatkan saingan di tempat keempat dalam satu lagi kejohanan kelayakan di Santiago, Chile.