
KUALA LUMPUR, 5 Mac- Kementerian Komunikasi akan mempergiatkan kempen kesedaran awam mengenai jenayah penipuan dalam talian melalui setiap platform penyiaran dalam pelbagai bahasa bagi membantu rakyat lebih berwaspada terhadap taktik ‘scammer’.
- Perluasan kempen kesedaran penipuan dalam talian melalui pawagam, televisyen dan radio dengan kerjasama agensi termasuk FINAS.
- Nasihat praktikal: jangan hantar duit, jangan klik atau kongsi maklumat; semak panggilan untuk pengesahan.
- Amaran peningkatan aktiviti penipuan semasa musim perayaan; orang ramai diminta lebih berhati-hati.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata kempen pesanan khidmat masyarakat berkaitan Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre) akan diperluaskan melalui kerjasama beberapa agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Kementerian akan bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk FINAS untuk melaksanakan kempen khidmat masyarakat yang akan ditayangkan di pawagam, televisyen dan disiarkan di stesen radio dalam pelbagai bahasa,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap mesej mencurigakan yang meminta pemindahan wang secara dalam talian, sambil berkongsi pengalaman seorang kenalannya yang hampir menjadi mangsa penipuan.
“Kalau tidak pasti, jangan hantar duit. Jangan klik dan jangan kongsi maklumat. Cuba telefon untuk sahkan dahulu,” katanya.
Datuk Fahmi menegaskan aktiviti penipuan dijangka meningkat menjelang musim perayaan Aidilfitri terutama selepas pengumuman kadar dividen oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi Simpanan Konvensional baru-baru ini.
Beliau ditemui media pada program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Lembah Pantai di Masjid Jamek Al-Khadijiah, di sini hari ini.
Lebih 300 penerima di sekitar Lembah Pantai menerima sumbangan wang tunai RM200 dan barangan keperluan asas daripada Baitulmal dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada program berkenaan.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL Ismadi Sakirin dan Pengurus Cawangan DBKL Lembah Pantai Faizal Mahmod.
Datuk Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut memaklumkan beberapa kemudahan tambahan disediakan kepada penduduk termasuk perkhidmatan ambulans pada kadar RM1, hasil kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).