
KUALA LUMPUR, 3 Mac– Jawatankuasa Dasar Monetari Bank (MPC) Negara Malaysia (BNM) sekali lagi mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
- BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus kerana kedudukan dasar monetari masih sesuai bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
- MPC akan terus memantau perkembangan dan menilai risiko terhadap prospek pertumbuhan domestik serta inflasi.
- Konflik di Asia Barat dan ketegangan geopolitik meningkatkan ketidaktentuan serta risiko penurunan kepada ekonomi global.
- Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan yang disokong oleh permintaan domestik, eksport E&E dan pelancongan.
Menurut BNM dalam kenyataan, berdasarkan paras OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah sesuai dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi .
MPC akan terus memantau perkembangan semasa serta menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.
Berlandaskan pengukuhan tahun lalu, pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, inflasi yang semakin berkurangan, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari.
“Bagaimanapun, konflik di Asia Barat meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global, dengan kesannya bergantung kepada tempoh dan tahap konflik tersebut”, tambah kenyataan itu.
Risiko penurunan juga semakin meningkat susulan kemungkinan peningkatan ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global.
“Selain itu wujud kebimbangan terhadap kemungkinan tarif akan meningkat dan penilaian tinggi dalam pasaran kewangan”.
Menurut bank pusat itu, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, didorong permintaan domestik yang kukuh, peningkatan eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta pertumbuhan sektor pelancongan yang memberangsangkan.
“Momentum positif itu dijangka berterusan pada 2026, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, pertumbuhan pekerjaan dan gaji, serta aktiviti pelaburan yang dipacu projek sektor awam dan swasta,” menurut kenyataan itu lagi.
Dari segi harga, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat 1.6 peratus dan 2.3 peratus pada Januari 2026.
BNM menjangka inflasi keseluruhan bagi 2026 kekal sederhana, manakala inflasi teras dijangka stabil .