SUKMA 2026: Kerja naik taraf infrastuktur dijangka siap sepenuhnya Julai

Datuk Abd Hamid Hussain ketika menjadi tetamu di SELANGORfm pagi tadi/ RTM

KUALA LUMPUR, 5 Mac– Hampir RM10 juta diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi kerja-kerja menaik taraf fasiliti sukan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan diadakan di Selangor dari Ogos hingga September ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan hampir RM10 juta oleh MBDK untuk naik taraf fasiliti sukan menjelang SUKMA 2026.
  • Fasiliti terlibat termasuk Stadium Hoki Pandamaran, Stadium Kota Raja, Dewan MBDK Bukit Raja dan Stadium Tertutup.
  • Kerja menaik taraf merangkumi tandas baharu, pembaikan tempat duduk, pemasangan lampu dan papan skor serta landskap.
  • Projek kini lebih 50% siap dan dijangka selesai sepenuhnya pada Julai, bagi persiapan latihan dan pertandingan tujuh acara.

Datuk Bandarnya, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, antara fasiliti terlibat ialah Stadium Hoki Pandamaran, Stadium Kota Raja, Dewan MBDK di Bukit Raja serta Stadium Tertutup.

Kerja-kerja menaik taraf yang sedang giat dilaksanakan termasuk pembinaan tandas baharu, pembaikan tempat duduk penonton, pemasangan lampu dan papan skor, serta kerja landskap melibatkan penanaman semula rumput.

“Segalanya sedang berjalan dan kita yakin akan siap sebelum Julai nanti. la khususnya, dari segi hoki untuk tujuan pasukan Selangor, begitu juga untuk ragbi untuk latihan dan kompleks-kompleks yang lain. la untuk tujuan latihan bermula bulan Julai nanti”, katanya selepas menjadi tetamu program Bandaraya Kita di Konti SelangorFM.

“Dari segi kemajuan seperti saya katakan tadi dah lebih 50 peratus dan saya jangka bulan Julai nanti ia siap sepenuhnya,” katanya lagi.

Sebanyak tujuh acara sukan akan dipertandingkan melibatkan hoki, ragbi, boling padang, bola keranjang, ping pong, kriket dan muay thai.