Zizie Izette bela diri kes subahat rasuah RM150 juta

Zizie Izette hadir di di Mahkamah Sesyen bagi prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah melibatkan kelulusan pelaburan FELCRA berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah melibatkan kelulusan pelaburan FELCRA berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zizie Izette hadir di Mahkamah Sesyen untuk prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan bersubahat rasuah melibatkan pelaburan FELCRA RM150 juta.
  • Prosiding kali pertama disebut selepas kematian Bung Moktar pada 5 Disember; kes terhadapnya diteruskan meskipun pertuduhan terhadap Bung Moktar ditamatkan.
  • Pihak pendakwaan menolak representasi Zizie Izette untuk menggugurkan pertuduhan; perbicaraan dijadual selama tiga hari pada 5, 6 dan 12 Mac.
  • Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009, sabitan boleh menyebabkan sehingga 20 tahun penjara dan denda berat.

Prosiding hari ini adalah kali pertama disebut selepas kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah melibatkan RM2.8 juta selepas pihak pendakwaan  tidak berhasrat meneruskan prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu susulan kematiannya.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan tersebut selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin Hou.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan sebanyak RM100,000 serta pasport milik Bung Moktar dipulangkan.

Pada tarikh sama, pihak pendakwaan juga menolak representasi yang dikemukakan oleh Zizie Izette bagi menggugurkan tiga pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan rasuah berkenaan.

Sehubungan itu, kes terhadapnya diteruskan dengan perbicaraan selama tiga hari pada 5, 6 dan 12 Mac.

Allahyarham Bung Moktar, yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA berdepan tiga pertuduhan rasuah berkaitan kelulusan agensi itu untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung kesalahan rasuah berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.