9 terbunuh, 11 hilang dalam serangan peluru berpandu Iran di Israel

Foto AFP

ISRAEL, 2 Mac -Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh manakala 11 lagi dilaporkan hilang dalam serangan peluru berpandu Iran di Beit Shemesh, pada Ahad, menurut polis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan peluru berpandu Iran di Beit Shemesh mengakibatkan sembilan maut.
  • 11 individu masih hilang dan belum dapat dihubungi selepas kejadian.
  • Lebih 45 mangsa cedera dirawat, pasukan kecemasan mencari mangsa yang mungkin terperangkap.

Polis dalam satu kenyataan memaklumkan, lebih 45 mangsa yang cedera dengan tahap kecederaan berbeza telah dipindahkan ke hospital, manakala sembilan mayat telah ditemukan setakat ini.

“Ketika ini, terdapat 11 individu yang masih hilang dan belum dapat dihubungi,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA), turut mengesahkan bahawa pasukan paramedik mengisytiharkan sembilan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pelbagai peralatan dibawa masuk untuk mengesan mangsa yang mungkin masih terperangkap,” kata seorang jurugambar AFP di lokasi kejadian, sambil menambah dipercayai masih terdapat mangsa di bawah runtuhan.

Serangan itu berlaku selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Sabtu yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, sekali gus mencetuskan tindak balas pantas dari Tehran yang berlarutan hingga Ahad. – AFP