
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Malaysia tidak melupakan nasib rakyat Palestin yang kini berdepan keadaan semakin gawat susulan penutupan pintu masuk Rafah sejak tercetusnya serangan terbaharu Israel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Sumud Darat simbol komitmen Malaysia mempertahankan hak dan maruah rakyat Palestin.
- Pelancaran itu menunjukkan solidariti rakyat melangkaui kaum, agama dan latar belakang politik.
- Inisiatif bertujuan meringankan beban akibat kezaliman rejim Zionis Israel.
- Misi bantuan terdiri daripada 30 kontena mengandungi makanan dan kit kebersihan ke Gaza.
Beliau berkata penutupan laluan utama itu pada Ramadan menjejaskan kemasukan bantuan makanan dan perubatan sekali gus memburukkan lagi situasi kemanusiaan di wilayah berkenaan.
“Sumud Darat menandakan komitmen kita dan saya bangga anak-anak kita yang tidak lentur semangat mereka untuk mempertahankan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin.
“Pelancaran Sumud Darat juga membuktikan bahawa solidariti rakyat melangkaui kaum, agama dan latar belakang politik dan kita konsisten untuk berdiri teguh mempertahankan hak rakyat Palestin serta membantu meringankan beban hidup akibat kezaliman rejim Zionis Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul mengecam tindakan Amerika Syarikat dan Israel di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 1 Mac lepas, Malaysia melancarkan misi bantuan kemanusiaan Sumud Darat membabitkan 30 kontena bersaiz besar dengan muatan 374 tan bahan makanan dan kit kebersihan ke Gaza sebagai tanda solidariti rakyat negara ini.