
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Penubuhan Mahkamah Tinggi Rasuah Khas disifatkan sebagai langkah positif dalam memperkukuh kecekapan dan ketelusan pengendalian kes rasuah, khususnya yang melibatkan kes berprofil tinggi.
- Mahkamah Tinggi Rasuah Khas dilihat memperkukuh kecekapan dan ketelusan pengendalian kes rasuah berprofil tinggi.
- Fokus khusus hakim mempercepat proses perbicaraan dan memberi jangka masa lebih tersusun bagi pelabur asing.
- Percepatan disokong dengan dedikasi, integriti dan pematuhan lunas undang-undang tanpa mengabaikan prinsip tidak bersalah.
Peguam jenayah Datuk Dr Baljit Singh berkata komitmen proaktif itu membolehkan hakim memberi tumpuan khusus kepada kes tertentu sekali gus mempercepatkan proses perbicaraan dengan jangka masa yang lebih tersusun dan terarah.
“Ia juga akan memberi keyakinan kepada pelabur asing dari segi jangka masa, integriti dan respons terhadap kes rasuah yang akan menjadi satu sasaran bagi semua pihak supaya perkara ini dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Dengan adanya penubuhan mahkamah khas ini, ia akan menjadi lebih efisien dan cepat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah tetap terpakai dan perlu dihormati.
“Jadi, ini tidak bermakna bahawa dengan adanya mahkamah rasuah ini, perkara itu akan dipercepatkan begitu sahaja.
“Percepatan itu ada, tetapi dengan dedikasi, integriti dan menurut lunas undang-undang supaya keadilan dapat dicapai oleh semua pihak,” katanya.