
KUALA LUMPUR, 26 Februari– Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) kekal meletakkan misi mempertahankan pingat emas sebagai keutamaan menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, September ini, sekali gus meneruskan dominasi cemerlang yang dilakar sebelum ini.
- SRAM sasarkan pertahankan pingat emas Sukan Asia 2026 bagi mengekalkan dominasi skuasy negara.
- Fokus pada S. Sivasangari dan Ng Eain Yow sebagai harapan utama untuk raih emas dan layak ke Olimpik LA 2028.
- Persiapan termasuk kem latihan luar negara Ogos dan pengukuhan barisan kejurulatihan dengan peruntukan tambahan.
Tumpuan utama terarah kepada dua tonggak negara, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow, yang digalas tanggungjawab memastikan emas terus menjadi milik Malaysia di pentas Asia.
Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata kejayaan mempertahankan gelaran amat signifikan memandangkan juara Sukan Asia akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, sekali gus membuka laluan awal ke temasya sukan terbesar dunia itu.
“Sudah tentu kita mahu Sivasangari, yang kini berada di ranking keenam dunia, terus meningkat dan menembusi kelompok empat terbaik.”
“Bagi Eain Yow pula, beliau ketika ini berada sedikit di luar kelompok 10 terbaik. Namun, beliau sedang bekerja keras dan melakukan perubahan positif dalam permainannya. Kita yakin beliau mampu kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dalam masa terdekat,” kata Monteiro kepada pemberita, hari ini.
Sebagai persiapan menghadapi kejohanan berprestij itu, SRAM merancang mengadakan kem latihan di luar negara pada Ogos bagi memastikan pemain mencapai tahap prestasi optimum menjelang saingan.
Dalam masa sama, persatuan turut memperkukuh barisan kejurulatihan termasuk menambah jurulatih baharu susulan persetujuan pihak berkaitan menyalurkan peruntukan tambahan bagi menyokong pembangunan prestasi atlet.
Pada edisi Sukan Asia 2022, Malaysia meraih tiga pingat emas, sekali gus menjadi penanda aras serta pembakar semangat untuk mengekalkan kejuaraan di Aichi-Nagoya 2026 demi merealisasikan impian ke Olimpik 2028.