
KUALA LUMPUR, 26 Februari– Piala Lee Chong Wei (LCWC) akan menjadi platform baharu untuk membangunkan pemain muda berpotensi.
- Piala Lee Chong Wei jadi platform baru membangunkan pemain muda berpotensi melalui kejohanan khas kategori remaja.
- Kejohanan melibatkan umur 13, 15 dan 17 ke bawah dengan hadiah keseluruhan RM100,000.
- Juara mendapat peluang sertai sesi pemilihan ABM; penganjuran diselaraskan bersama BAM untuk elak pertindihan jadual.
Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata kejohanan itu merupakan usaha terbaharunya untuk menyumbang kembali bidang sukan yang telah membentuk kerjayanya.
“Sejak saya kecil lagi, peluang untuk menyertai kejohanan memang terhad dan keadaan itu masih sama sehingga hari ini, khususnya bagi kategori remaja.”
“Justeru, saya berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan peringkat junior serta membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk menyerlahkan potensi diri dan membuktikan kemampuan masing-masing.”
“Bagi saya, adalah lebih baik generasi muda melibatkan diri dalam sukan berbanding hanya menghabiskan masa di rumah bermain permainan video. Itu juga menjadi impian saya untuk melihat lebih ramai anak muda aktif dan berjaya melalui sukan,” kata Datuk Seri Lee Chong Wei kepada pemberita, hari ini.
Menurut beliau, kejohanan itu akan melibatkan remaja berumur 13, 15 dan 17 ke bawah menawarkan hadiah keseluruhan RM100,000.
Tarikh penganjuran kejohanan masih dalam perbincangan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengelak pertindihan jadual pertandingan,
Beliau ditemui pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei 2026 di Auditorium PETRONAS Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini.
Sementara itu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan LCWC sebagai platform memupuk generasi muda dari akar umbi.
Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd diumumkan sebagai penaja rasmi bagi penganjuran sulung LCWC dan juara kejohanan itu akan mendapat peluang untuk menyertai sesi pemilihan ABM.