Penduduk sifatkan ribut di Taman Damai paling teruk

Foto APM Perak

TAIPING, 25 Februari – Penduduk menyifatkan ribut yang melanda Taman Damai di Taiping petang semalam sebagai kejadian paling teruk pernah berlaku di kawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bumbung rumah tercabut dan rosak teruk selepas angin kencang melanda perumahan.
  • Tiang TNB tumbang dan kabel elektrik jatuh atas bumbung beberapa rumah.
  • Penduduk terkejut; kejadian berlaku tiba-tiba semasa hujan renyai.
  • Penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan sementara TNB pantau bekalan elektrik.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu bermula dengan hujan renyai sebelum angin kencang melanda kawasan perumahan dalam tempoh singkat.

Penduduk memaklumkan kejadian seumpama itu pernah berlaku dan kawasan berkenaan dipercayai merupakan laluan angin.

“Ketika itu saya berada di dalam rumah. Hujan turun sebelum disertai angin yang sangat kuat hingga menyebabkan bumbung rumah saya tercabut.

“Paling ketara, tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sebelah rumah tumbang lalu menghempap bumbung rumah saya, menyebabkan kabel elektrik jatuh di atas bumbung rumah saya
serta rumah jiran,” kata Shamsuri Zainal Abidin.

Seorang lagi penduduk, Zainab Jamaluddin juga tidak menyangka angin bertiup begitu kuat.

“Mula-mula saya duduk dekat kerusi itu, saya tenang-tenang sahaja sementara menunggu nak masak.

“Tiba-tiba angin datang kuat, habis bergegar. Ingatkan rumah makcik sahaja, rupanya rumah orang lain pun sama,” katanya.

Bagi Baharudin Baharin pula, bumbung bahagian dapur rumahnya telah pecah sepenuhnya.

“Saya mempunyai dua rumah di kawasan ini dan salah satunya turut rosak apabila bumbung rumah lain diterbangkan angin lalu menghempap bumbung rumah saya sehingga menyebabkan ia retak,” katanya.

Tinjauan RTM di lokasi mendapati penduduk bergotong-royong membersihkan kediaman masing-masing, manakala TNB berada di kawasan terjejas bagi memantau bekalan elektrik.