Kerajaan Perak salur bantuan segera kepada mangsa ribut di Taiping

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed/RTM

TAIPING, 25 Februari – Kerajaan Negeri Perak menyalurkan bantuan segera kepada mangsa ribut yang melanda beberapa kawasan perumahan di sini dengan membuka sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemerintah Perak buka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Kaya untuk mangsa ribut.
  • 23 keluarga (34 mangsa) didaftarkan dan ditempatkan di PPS dengan pengurusan JKM dan agensi berkaitan.
  • Kerajaan negeri sediakan keperluan asas, tilam, makanan termasuk juadah bersahur dan lantik pembekal makanan.
  • Bantuan susulan dan bantuan bencana akan disalurkan selepas laporan penuh kerosakan diterima.

Setakat ini, 23 keluarga melibatkan 34 mangsa berdaftar dan ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya.

Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Salbiah Mohamed, PPS berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama agensi berkaitan bagi menempatkan keluarga terjejas.

“Kerajaan negeri menyediakan keperluan asas termasuk ruang tidur, tilam serta makanan, termasuk juadah bersahur memandangkan kejadian berlaku dalam bulan Ramadan.

“Pembekal makanan telah dilantik bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara sebagai tindakan awal kerajaan negeri,” katanya ketika membuat lawatan PPS pada Selasa.

Sementara itu, bantuan susulan termasuk bantuan bencana akan disalurkan selepas laporan penuh kerosakan diterima

Terdahulu, kejadian ribut dan pokok tumbang dilaporkan berlaku di kawasan Taman Damai, Simpang, di Taiping.

Ribut berkenaan turut menyebabkan beberapa rumah ditimpa pokok, bumbung rumah dan premis perniagaan diterbangkan angin, khemah bazar Ramadan rosak, kaki lima Masjid Pengkalan Aur runtuh, pagar kubur masjid rosak serta bumbung surau Taman Pengkalan Indah tercabut selain merosakkan beberapa kenderaan.

Antara kawasan terjejas ialah Taman Kaya, Kampung Sentosa, Batu 2 ½, Kampung Pak Darus, Taman Ria, Taman Damai, Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, PPR Simpang Perdana dan Jalan Simpang.