
GEORGE TOWN, 23 Februari – Seorang wanita berumur 37 tahun ditemukan maut dalam sebuah kereta di parkir sebuah stesen minyak di Paya Terubong, di sini semalam.
- Wanita 37 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta berkunci di stesen minyak Paya Terubong.
- Kereta dibuka oleh JBPM Pulau Pinang sebelum wanita disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
- Polis sahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian selepas siasatan di tempat kejadian.
- Bedah siasat di Hospital Pulau Pinang mengesahkan punca kematian radang paru-paru; kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad.
Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.55 malam.
Siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati saksi orang awam menemukan wanita terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta yang berkunci dari dalam kira-kira pukul 4 petang.
Pintu kereta itu kemudian berjaya dibuka oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan wanita itu disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
Mangsa berasal dari Paya Terubong dan hasil siasatan pihak polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes tersebut.
Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Pulau Pinang mengesahkan punca kematian adalah radang paru-paru.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan laporan mati mengejut dibuka bagi siasatan lanjut.