Graduan cemerlang akademik gagal kerjaya, di mana silapnya?

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi untuk menembusi pasaran kerja yang kompetitif.
  • Graduan gagal kerana kelemahan identiti profesional termasuk komunikasi, etika kerja dan keyakinan diri.
  • Reputasi dan jejak digital mempengaruhi kepercayaan majikan serta peluang kerjaya.
  • Pembinaan identiti profesional memerlukan pelaburan jangka panjang melalui latihan, pengalaman dan konsistensi.

Setiap tahun, ribuan graduan melangkah keluar dari universiti dengan keputusan akademik yang membanggakan. Namun, realitinya tidak semua berjaya menembusi pasaran pekerjaan dalam tempoh yang singkat.

Fenomena graduan menganggur atau bekerja di luar bidang pengajian semakin membimbangkan, walaupun mereka memiliki kelayakan akademik yang kukuh. Persoalannya, jika bukan kerana kekurangan ilmu, di manakah sebenarnya silapnya?

Hakikat yang semakin jelas dalam dunia pekerjaan hari ini ialah kecemerlangan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi. Majikan kini mencari graduan yang bukan sahaja bijak secara intelektual, tetapi juga matang dari segi personaliti profesional, kemahiran komunikasi, etika kerja dan kebolehan menyesuaikan diri dalam persekitaran organisasi. Tanpa ciri-ciri ini, graduan mudah tersisih walaupun memiliki transkrip cemerlang.

Salah satu punca utama kegagalan graduan menonjol dalam temuduga kerja ialah kelemahan dalam membina identiti profesional. Ramai yang tidak mampu mempersembahkan diri secara yakin, jelas dan berstrategi.

Jenama identiti profesional boleh difahami sebagai “jenama diri” seseorang dalam dunia kerja dan masyarakat. Ia bukan sekadar imej luaran, tetapi gabungan nilai diri, cara berkomunikasi, etika kerja, disiplin, sikap terhadap tanggungjawab dan bagaimana seseorang itu membawa dirinya dalam pelbagai situasi. Dalam erti kata mudah, ia menjawab persoalan, “Siapa anda apabila nama anda disebut?”

Universiti bukan sekadar melahirkan pemegang ijazah, tetapi membentuk individu yang mempunyai nilai, integriti dan keupayaan menyumbang kepada masyarakat. Ini menunjukkan pembangunan modal insan tidak boleh terhenti pada pencapaian akademik sahaja. Lebih penting ialah pembentukan karakter dan identiti profesional yang kukuh.

Dalam era digital yang serba terbuka, identiti profesional menjadi semakin penting. Hari ini, orang menilai kita bukan hanya melalui sijil, tetapi melalui cara kita bercakap, menulis, berinteraksi dan mengurus reputasi dalam talian. Jejak digital boleh membina atau meruntuhkan kredibiliti seseorang.

Jenama Identiti Membina Kepercayaan dan Kredibiliti

Dalam dunia profesional, kepercayaan ialah aset paling berharga. Majikan, rakan sekerja dan pelanggan lebih cenderung memilih individu yang mempunyai reputasi baik dan boleh dipercayai. Kepercayaan tidak dibina melalui kata-kata semata-mata, tetapi melalui tindakan yang konsisten.

Sebagai contoh, individu yang sentiasa menepati masa, menjaga adab komunikasi dan bertanggungjawab terhadap tugasnya akan dikenali sebagai profesional yang boleh diharapkan. Lama-kelamaan, nama dan reputasinya akan menjadi “jenama” yang membawa nilai tersendiri.

Jenama identiti profesional juga membantu seseorang menonjol dalam pasaran kerja yang kompetitif. Apabila dua calon mempunyai kelayakan akademik yang hampir sama, faktor yang membezakan mereka ialah personaliti, kemahiran komunikasi dan keyakinan diri. Inilah yang menjadikan identiti profesional sebagai penentu sebenar kejayaan.

Identiti Profesional Melahirkan Kepimpinan Autentik

Kepimpinan bukan hanya milik mereka yang memegang jawatan tinggi. Kepimpinan sebenarnya bermula daripada cara seseorang mengurus dirinya sendiri. Individu yang mempunyai identiti profesional yang jelas biasanya lebih yakin membuat keputusan dan berani mempertahankan prinsipnya.

Jenama identiti profesional yang kukuh membantu seseorang membina pengaruh yang positif. Orang lain akan lebih mudah menghormati dan mengikuti individu yang mempunyai nilai yang jelas dan konsisten. Dalam organisasi, pemimpin yang berintegriti dan beretika akan mencipta suasana kerja yang sihat serta membina budaya yang positif.

Dalam konteks lebih luas, negara juga memerlukan modal insan yang mempunyai identiti profesional yang matang. Pemimpin masa depan bukan sahaja perlu bijak, tetapi juga berprinsip, berempati dan mampu berkomunikasi dengan berkesan. Semua ini bermula dengan pembinaan identiti profesional sejak awal.

Pelaburan Jangka Panjang untuk Kerjaya dan Kehidupan

Jenama identiti profesional bukan sesuatu yang boleh dibina dalam sehari. Ia memerlukan kesedaran, latihan dan pengalaman. Namun, ia merupakan pelaburan jangka panjang yang memberi kesan besar kepada kerjaya dan kehidupan seseorang.

Individu yang mempunyai identiti profesional yang jelas lebih mudah menyesuaikan diri dengan perubahan. Dalam dunia yang sentiasa berubah akibat kemajuan teknologi dan persaingan global, keupayaan untuk belajar semula, memperbaiki diri dan mengekalkan reputasi yang baik sangat penting.

Selain itu, identiti profesional juga mempengaruhi jaringan sosial dan peluang kerjaya. Rangkaian profesional selalunya terbina atas dasar kepercayaan dan reputasi. Apabila seseorang dikenali sebagai individu yang profesional dan berintegriti, peluang akan datang dengan sendirinya.

Dalam era media sosial, setiap perkongsian, komen dan interaksi mencerminkan siapa diri kita. Oleh itu, kesedaran terhadap jenama identiti profesional perlu dipupuk sejak awal. Ia bukan sekadar strategi pemasaran diri, tetapi satu bentuk tanggungjawab terhadap imej dan masa depan sendiri.

Akhirnya, kejayaan bukan hanya tentang apa yang tertera dalam sijil, tetapi tentang siapa diri kita dalam tindakan dan nilai yang kita bawa. Jenama identiti profesional ialah aset yang tidak nampak secara fizikal, tetapi sangat besar nilainya dalam menentukan hala tuju hidup seseorang.

Ijazah mungkin membuka pintu, tetapi identiti profesional menentukan sejauh mana kita mampu melangkah dan bertahan. Dalam membina modal insan yang berimpak jangka panjang, pembentukan jenama identiti profesional bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.

Apabila setiap individu sedar akan pentingnya identiti profesional dan berusaha membinanya dengan penuh integriti, bukan sahaja kerjaya mereka akan berkembang, malah masyarakat dan negara turut mendapat manfaat daripada modal insan yang berkualiti dan berdaya tahan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Kamaruzzaman Abdul Manan
Pensyarah Universiti
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia