104 pelajar asnaf terima sumbangan Aidilfitri FCoEE

Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin/RTM

KANGAR, 21 Februari – Seramai 104 pelajar asnaf sekolah rendah dan menengah yang menyertai Bengkel Matematik dan Program Cilik AI menerima sumbangan Aidilfitri daripada Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) menyumbang barangan Aidilfitri kepada 104 pelajar asnaf.
  • Sumbangan disalurkan lebih awal untuk membantu persediaan keluarga dan meringankan beban menjelang Aidilfitri.
  • Bantuan diharap mengukuhkan kasih sayang dan perpaduan serta memberi makna besar kepada penerima.

Sumbangan itu disalurkan lebih awal bagi membolehkan pelajar membuat persediaan bersama keluarga serta meringankan beban menjelang Aidilfitri.

Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha pihaknya menyebarkan keceriaan kepada pelajar daripada keluarga asnaf.

Menurut beliau, bantuan itu diharap dapat memberi makna besar kepada penerima sekali gus mengukuhkan semangat kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pelajar lelaki menerima sumbangan berupa kurta manakala pelajar perempuan menerima sepasang baju kurung.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutup Bengkel Matematik dan Program Cilik AI di bawah inisiatif Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM) yang disempurnakan Exco Negeri, Marzita Mansor.