
SEPANG, 20 Februari – Skuad futsal wanita negara, Malayan Tigress hari ini berlepas ke Bangkok, Thailand bagi menghadapi kejuaraan Futsal Wanita ASEAN 2026 yang akan berlangsung dari 24 Februari hingga 2 Mac ini di Korat, Thailand.
- Skuad Malayan Tigress bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran dan mengharumkan nama Malaysia di Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN 2026.
- Malaysia diundi dalam Kumpulan A dan akan membuka kempen menentang Indonesia, diikuti pertembungan dengan tuan rumah Thailand.
- Senarai akhir 14 pemain diumumkan oleh FAM bagi menghadapi kejohanan berprestij rantau ASEAN ini.
Seramai 14 pemain dipilih untuk membawa cabaran Malaysia dalam kejohanan berprestij rantau ASEAN ini.

Skuad kendalian ketua jurulatih, Jamhuri Zainuddin itu diundi dalam Kumpulan A dan akan membuka tirai kempen menentang Indonesia pada 25 Februari ini.
Malayan Tigress kemudian akan berdepan tuan rumah, Thailand sehari selepas itu di Terminal 21 Korat.
Sementara itu, Kumpulan B pula disertai empat pasukan iaitu juara bertahan Vietnam, Myanmar, Filipina dan Australia.
Juara dan naib juara Kumpulan A dan B akan melangkah ke separuh akhir pada 28 Februari, sementara perlawanan akhir dan tempat ketiga akan berlangsung pada 2 Mac 2026.

Pasukan negara kini bersedia sepenuhnya bagi menggalas cabaran dan mengharumkan nama Malaysia di pentas serantau.

Terdahulu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengumumkan, senarai akhir 14 pemain yang akan ke kejuaraan itu.

Pemain-pemain berkenaan adalah Noorasyeimah Mohamad Rashid, Asma Junaidi, Hanis Farhana Shamsul Azizan, Nur Afrina Azhar, Siti Asnidah Zamri, Thivyashini Jegatesan dan Intan Zainal Azhar.

Turut terpilih, Nur Syafiqah Zainal Abidin, Nur Shazreen Munazli, Nur Lyana Soberi, Fatin Shahida Azmi, Ayuna Anjani Lamsin, Nur Harizah Mohd Zaini dan Intan Sarah Anisah Zulgafli.