Lelaki dera anak tiri dalam video tular sudah diambil tindakan – Polis

Tangkap layar video tular/Threads @capricedaddycap

KUALA LUMPUR, 19 Februari- Polis mengesahkan sudah menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam video tular yang memaparkan suspek memukul, mengasari dan menendang anak tirinya dalam kejadian di Setapak, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek yang dikesan dalam video tular ditahan berhubung penderaan fizikal dan mental terhadap anak tiri.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan suspek didakwa di mahkamah.
  • Polis menggesa orang ramai membuat laporan segera dan menyediakan hotline untuk maklumat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya mengesan rakaman tular berkaitan insiden itu menerusi akaun Threads milik penyanyi rap @capricedaddycap.

Dalam video tular itu, suspek dilihat memukul, mengasari dan menendang serta mengarahkan kanak-kanak itu berlari berulang alik dalam video berdurasi dua minit berkenaan.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian pada 1.48 tengah hari 19 Disember 2025 oleh pengadu, seorang wanita berumur 27 tahun yang juga ibu mangsa.

“Kejadian berlaku di sebuah kediaman sekitar Setapak, disini. Pengadu melihat beberapa rakaman video menunjukkan suspek melakukan penderaan mental dan fizikal terhadap anaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan aduan itu, Fadil berkata pada 20 Disember 2025, pihaknya menahan suspek berusia 32 tahun yang juga suami pengadu dan ayah tiri mangsa.

Tambahnya, suspek telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Disember 2025 di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.