Belanjawan 2027: Intervensi awal, jangan biarkan anak istimewa menunggu

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Intervensi awal penting untuk mengenal pasti kelewatan dan memanfaatkan tempoh kritikal perkembangan otak melalui sokongan yang sesuai.
  • Peluasan perkhidmatan Belanjawan 2027 perlu menjamin akses berkualiti, tenaga terlatih, kesinambungan perkhidmatan dan penglibatan keluarga.
  • Ibu bapa mesti didengari dan dibimbing supaya dapat menyokong perkembangan anak dalam kehidupan harian tanpa stigma atau rasa dipersalahkan.

Seorang ibu menyedari anaknya yang berusia dua tahun masih belum banyak bercakap. Apabila namanya dipanggil, kadangkala anak itu tidak menoleh. Dia lebih gemar bermain sendirian dan mudah terganggu apabila rutin hariannya berubah.

Apabila kebimbangan tersebut dikongsikan dengan orang sekeliling, jawapan yang diterima hampir sama. “Tunggu dulu, nanti pandailah dia. Setiap anak berkembang pada masa yang berbeza.”

Nasihat seperti ini mungkin diberikan dengan niat yang baik. Memang benar, setiap kanak-kanak mempunyai kadar perkembangan tersendiri.

Namun, apabila terdapat tanda-tanda kelewatan perkembangan yang berterusan, menunggu tanpa mendapatkan penilaian boleh menyebabkan kanak-kanak terlepas peluang menerima sokongan yang diperlukan lebih awal.

Bagi ibu bapa, persoalannya bukan sekadar sama ada anak mereka akan mampu bercakap, tetapi bagaimana memastikan mereka mendapat bantuan yang sesuai pada waktu yang tepat.

Dalam konteks inilah pengumuman Belanjawan 2027 mengenai peluasan pendidikan dan intervensi awal kanak-kanak autistik membawa makna yang penting.

Kerajaan mengumumkan pembinaan dua Pusat PERMATA Kurnia baharu di Melaka dan Pahang, selain pembukaan lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa di kawasan desa bagi membantu kanak-kanak autistik daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan bimbingan awal.

Langkah ini memperlihatkan usaha memperluas akses kepada perkhidmatan yang amat diperlukan oleh kanak-kanak dan keluarga mereka.

Namun, di sebalik pembinaan pusat dan pembukaan kelas baharu, terdapat satu persoalan yang lebih mendasar.

Bagaimanakah kita memastikan kanak-kanak yang memerlukan bantuan dapat dikenal pasti dan menerima intervensi sebelum kesukaran perkembangan mereka menjadi semakin mencabar?

Mengapa Masa Begitu Penting?

Dalam perkembangan kanak-kanak, tahun-tahun awal kehidupan merupakan tempoh yang sangat penting bagi pembentukan kemahiran komunikasi, sosial, pergerakan dan pembelajaran.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih sejuta hubungan baharu antara sel saraf terbentuk setiap saat dalam beberapa tahun pertama kehidupan.

Proses ini menunjukkan betapa pesatnya perkembangan otak pada peringkat awal usia dan mengapa pengalaman serta persekitaran memainkan peranan penting dalam membentuk asas pembelajaran seseorang kanak-kanak.

Keupayaan otak untuk membentuk dan mengubah hubungan antara sel saraf sebagai tindak balas terhadap pengalaman dikenali sebagai neuroplastisiti.

Bayangkan sebuah kawasan padang yang dipenuhi rumput. Apabila seseorang mula berjalan merentasinya, laluan yang terbentuk mungkin masih samar. Namun, apabila laluan yang sama digunakan berulang kali, ia menjadi semakin jelas dan mudah dilalui.

Secara mudah, begitulah kita boleh membayangkan bagaimana pengalaman dan latihan berulang membantu mengukuhkan hubungan antara sel saraf yang terlibat dalam sesuatu kemahiran.

Sebagai contoh, apabila seorang anak belajar menyebut perkataan, proses tersebut bukan sekadar melibatkan pergerakan lidah dan bibir. Otaknya turut belajar mengenali bunyi, memahami makna dan menghubungkan perkataan dengan sesuatu objek atau pengalaman.

Apabila ibu bapa berinteraksi, bermain dan memberikan respons terhadap percubaan anak untuk berkomunikasi, pengalaman tersebut menyediakan peluang untuk kemahiran berkenaan terus berkembang.

Walaupun perkembangan setiap kanak-kanak berbeza, prinsip pembelajaran melalui pengalaman yang berulang tetap memainkan peranan penting.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menekankan kepentingan penjagaan yang responsif dan peluang pembelajaran awal dalam menyokong perkembangan kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan, intervensi awal bolehmembantu membina kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan aktiviti harian melalui pendekatan yang disesuaikan dengan keperluan individu.

Sokongan ini mungkin melibatkan terapi pertuturan dan bahasa, terapi cara kerja atau intervensi perkembangan yang dilaksanakan bersama keluarga dan tenaga profesional.

Walau bagaimanapun, intervensi awal bukan bermaksud kanak-kanak yang mendapat bantuan lewat tidak lagi boleh berkembang. Otak manusia terus mempunyai keupayaan untuk belajar dan berubah sepanjang kehidupan.

Namun, apabila kesukaran perkembangan dikenal pasti lebih awal, keluarga dan profesional mempunyai peluang untuk menyediakan sokongan yang sesuai ketika kemahiran asas sedang berkembang dengan pesat.

Justeru, kepentingan intervensi awal bukan sekadar memulakan sesuatu program pada usia muda, tetapi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan perkembangan setiap kanak-kanak.

Daripada Kebimbangan Ibu Bapa Kepada Bantuan Profesional

Salah satu cabaran dalam perkembangan kanak-kanak ialah mengenal pasti bilakah sesuatu perbezaan perkembangan memerlukan perhatian lanjut.

Ada kanak-kanak yang lambat bercakap tetapi berkembang dengan baik dalam aspek lain. Ada pula yang menunjukkan kesukaran komunikasi bersama perbezaan dalam interaksi sosial, tingkah laku atau tindak balas terhadap rangsangan persekitaran.

Tanda-tanda ini tidak semestinya bermaksud seseorang kanak-kanak mempunyai autisme. Namun, ia boleh menjadi sebab yang munasabah untuk mendapatkan pemeriksaan perkembangan.

Penilaian oleh profesional kesihatan yang terlatih dapat membantu mengenal pasti sama ada kanak-kanak memerlukan pemantauan, pemeriksaan lanjut atau sokongan perkembangan tertentu.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting kerana merekalah individu yang paling banyak memerhatikan perkembangan anak dalam kehidupan seharian.

Kebimbangan mereka perlu didengar dan diberikan perhatian sewajarnya. Pada masa yang sama, masyarakat perlu mengelakkan stigma yang menyebabkan keluarga berasa takut atau malu untuk mendapatkan bantuan.

Autisme bukan berpunca daripada kegagalan ibu bapa mendidik anak. Ia merupakan keadaan perkembangan saraf yang mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi, berinteraksi dan mengalami dunia di sekelilingnya.

Setiap individu autistik juga mempunyai kekuatan dan keperluan sokongan yang berbeza. Justeru, matlamat intervensi bukan untuk menjadikan semua kanak-kanak serupa, tetapi membantu mereka mengembangkan keupayaan, meningkatkan kemandirian dan mencapai potensi masing-masing.

Memperluas Akses, Merapatkan Jurang

Pembinaan dua Pusat PERMATA Kurnia baharu dan peluasan kelas Tabika Tunas Istimewa melalui Belanjawan 2027 merupakan perkembangan yang relevan dalam usaha merapatkan jurang akses kepada pendidikan dan sokongan awal.

Bagi keluarga yang tinggal jauh daripada pusat bandar, jarak perjalanan, kos pengangkutan dan kekangan masa boleh menjadi cabaran untuk mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

Keadaan ini mungkin lebih mencabar bagi keluarga berpendapatan rendah yang perlu mengimbangi tanggungjawab pekerjaan dengan keperluan membawa anak menghadiri sesi penilaian atau intervensi.

Oleh itu, peluasan perkhidmatan ke kawasan desa berpotensi membantu mengurangkan sebahagian halangan tersebut, khususnya apabila kemudahan yang disediakan dapat diakses secara berterusan oleh keluarga setempat.

Namun, keberkesanan peluasan ini perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan bilangan pusat atau kelas yang diwujudkan.

Aspek lain seperti ketersediaan tenaga pengajar terlatih, kesesuaian pendekatan intervensi, kesinambungan perkhidmatan dan penglibatan keluarga turut menentukan kualiti sokongan yang diterima oleh kanak-kanak.

Sebagai contoh, sebuah kelas yang mempunyai kemudahan fizikal yang baik masih memerlukan pendidik yang memahami kepelbagaian perkembangan kanak-kanak autistik.

Begitu juga program intervensi yang dirancang dengan teliti memerlukan kerjasama keluarga supaya kemahiran yang dipelajari dapat diperkukuh dalam kehidupan seharian.

Apabila Pendidikan dan Kesihatan Bergerak Bersama

Perkembangan kanak-kanak tidak terpisah antara dunia pendidikan dengan dunia kesihatan.

Seorang kanak-kanak yang menunjukkan kelewatan pertuturan mungkin mula dikenal pasti oleh ibu bapa, pengasuh atau guru tadika. Seterusnya, pemeriksaan perkembangan dan penilaian profesional boleh membantu menentukan bentuk sokongan yang diperlukan.

Dalam keadaan tertentu, kanak-kanak mungkin memerlukan penglibatan beberapa profesion, termasuk doktor, ahli terapi pertuturan dan bahasa, ahli terapi cara kerja, ahli psikologi serta pendidik pendidikan khas.

Setiap profesion mempunyai peranan tersendiri, tetapi matlamat akhirnya tetap sama, iaitu membantu kanak-kanak berkembang dan mengambil bahagian dalam kehidupan keluarga, pendidikan serta masyarakat.

Cabaran yang perlu diberikan perhatian ialah kesinambungan antara proses pengesanan, penilaian dan intervensi.

Mengenal pasti kelewatan perkembangan merupakan langkah penting, tetapi manfaatnya mungkin terbatas sekiranya keluarga menghadapi kesukaran mendapatkan penilaian lanjut atau perlu menunggu terlalu lama untuk memulakan sokongan yang sesuai.

Oleh itu, peluasan kemudahan melalui Belanjawan 2027 boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama antara perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan komuniti.

Hubungan yang lebih tersusun antara pihak-pihak ini berpotensi memudahkan keluarga mendapatkan maklumat, memahami pilihan sokongan serta meneruskan intervensi apabila anak beralih daripada pendidikan awal ke alam persekolahan.

Ibu Bapa Bukan Sekadar Pemerhati

Dalam membincangkan intervensi awal, perhatian sering diberikan kepada pusat, terapi dan tenaga profesional. Namun, terdapat satu komponen yang sama penting, iaitu penglibatan ibu bapa dan penjaga.

Kanak-kanak menghabiskan sebahagian besar masa mereka bersama keluarga. Aktiviti harian seperti bermain, makan, membaca buku atau berbual boleh menjadi peluang untuk menggalakkan komunikasi, interaksi dan pembelajaran.

Dengan bimbingan yang sesuai, ibu bapa boleh membantu memperkukuh kemahiran anak melalui aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan perkembangan mereka.

Pendekatan ini tidak bermaksud ibu bapa perlu mengambil alih tugas ahli terapi atau pendidik. Sebaliknya, keluarga perlu diberikan pengetahuan dan sokongan supaya mereka memahami cara membantu anak tanpa menjadikan kehidupan seharian sebagai satu siri latihan yang membebankan.

Pada masa yang sama, kesejahteraan emosi keluarga tidak boleh diketepikan. Mendapatkan penilaian perkembangan anak boleh menjadi pengalaman yang mencabar, terutama apabila ibu bapa berhadapan dengan kebimbangan, kekurangan maklumat atau pandangan negatif masyarakat.

Perkhidmatan yang mesra keluarga perlu menyediakan ruang untuk mereka bertanya, memahami keadaan anak dan mendapatkan sokongan tanpa rasa dipersalahkan.

Masa Depan Anak Bermula Hari Ini

Belanjawan 2027 turut meningkatkan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM150 kepada RM200 sebulan serta Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM250 kepada RM300 sebulan.

Bersama pembinaan Pusat PERMATA Kurnia dan peluasan Tabika Tunas Istimewa, pengumuman ini memperlihatkan perhatian terhadap keperluan murid berkeperluan khas, pendidik dan keluarga.

Namun, nilai sebenar inisiatif tersebut akan lebih bermakna apabila kemudahan yang diperluas dapat diterjemahkan kepada akses yang lebih mudah, sokongan yang berkualiti dan pengalaman pembelajaran yang lebih baik.

Kejayaan bukan sekadar apabila lebih banyak kelas dibuka, tetapi apabila lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan bantuan dapat dikenal pasti, dibimbing dan diberikan peluang untuk berkembang mengikut keupayaan masing-masing.

Dalam kita mengangkat aspirasi Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, pembangunan negara perlu turut memberikan perhatian kepada asas kehidupan yang paling awal, iaitu perkembangan kanak-kanak.

Kemajuan pendidikan bukan hanya tentang melahirkan generasi yang cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga memastikan setiap anak mempunyai peluang untuk belajar, berkomunikasi dan mengambil bahagian dalam masyarakat tanpa diketepikan kerana perbezaan perkembangan mereka.

Bagi seorang ibu yang masih menunggu anaknya menyebut perkataan pertama, atau seorang ayah yang berharap dapat memahami keperluan anaknya dengan lebih baik, sokongan yang tepat pada waktunya boleh membawa makna yang amat besar.

Ia mungkin bermula dengan satu pemeriksaan, satu sesi bimbingan atau seorang pendidik yang memahami keperluan anak tersebut.

Kerana dalam membina masa depan negara, ada perkara yang boleh menunggu. Namun, perkembangan seorang anak tidak seharusnya menjadi salah satunya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.