JMR tampil jentera baharu

Foto FB JOHOR Racing

KUALA LUMPUR, 14 Februari– Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) memulakan kempen 2026 dengan cabaran besar apabila membuat penampilan sulung jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R pada perlumbaan ketahanan berprestij Bathurst 12 Hour di Litar Mount Panorama, Australia pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • JMR debut jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R di Bathurst 12 Hour, membuka lembaran baharu kempen GT3 pasukan.
  • Dua jentera diturunkan dalam kelas Pro dan Pro-Am dengan barisan pemandu bertaraf dunia termasuk Earl Bamber.
  • Kedua-dua jentera bermula dari kelompok pertengahan grid selepas sesi kelayakan berakhir di kedudukan ke-24 dan ke-25.
  • Pasukan penuh keyakinan selepas musim 2025 memberangsangkan, melihat Bathurst sebagai peluang perbaiki kedudukan dalam perlumbaan 12 jam.

Pasukan itu menurunkan dua jentera dalam kelas Pro dan Pro-Am, dibarisi gabungan pemandu bertaraf dunia termasuk juara 24 Hours of Le Mans dua kali, Earl Bamber, selain Alexander Sims, Nicky Catsburg, Ben Green dan Jordan Love, serta pemandu Malaysia Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Berdasarkan sesi kelayakan yang berlangsung hari ini, kedua-dua jentera JMR akan memulakan perlumbaan esok dari kelompok pertengahan grid.

Jentera kelas Pro yang dipandu Earl Bamber mencatat masa terpantas 2 minit 03.058 saat untuk berada di kedudukan ke-24 keseluruhan, manakala jentera dalam kelas Pro-Am yang dipandu Ben Green di kedudukan ke-25 dengan catatan 2 minit 03.111 saat.

Keputusan itu meletakkan JMR dalam kedudukan mencabar menjelang perlumbaan ketahanan 12 jam yang terkenal dengan faktor strategi, konsistensi dan ketahanan jentera, sekali gus memberi peluang pasukan memperbaiki kedudukan sepanjang perlumbaan.

Tunku Abdul Rahman berkata pasukan itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas melalui musim 2025 yang memberangsangkan, selain melihat penampilan sulung Corvette di Bathurst sebagai detik penting buat pasukan.

“Tahun lalu merupakan musim yang sangat baik buat kami, dan kini kami memulakan 2026 dengan semangat baharu. Bathurst ialah litar ikonik, dan membuat penampilan sulung bersama Corvette di sini sesuatu yang amat istimewa. Memandu di Mount Panorama sangat mengujakan, dan kami benar-benar menantikan perlumbaan ini,” katanya.

Kehadiran JMR turut mencuri tumpuan apabila Corvette membuat penampilan sulung di perlumbaan tersebut, sekali gus membuka lembaran baharu kempen GT3 pasukan itu selepas mencatat kemenangan dan podium dalam saingan GT World Challenge Asia serta perlumbaan ketahanan Suzuka musim lalu.

Perlumbaan Bathurst 12 Hour 2026 yang membuka tirai musim perlumbaan GT antarabangsa berlangsung dari 13 hingga 15 Februari, dengan penyertaan 36 kereta daripada 12 pengeluar, sekali gus menjadi pentas penting untuk JMR mengukur tahap daya saing menjelang baki musim ini.