
KUALA LUMPUR, 10 Februari– Pendekatan Pre-Active Services dan Total Enforcement menjadi fokus utama Op Selamat Tahun Baharu Cina 2026 yang akan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama enam hari bermula 15 Februari ini.
- Pendekatan Pre-Active Services menekankan tindakan awal dan pencegahan sebelum insiden berkaitan keselamatan jalan raya dan jenayah.
- Kerjasama dengan PBT, JKR dan agensi lain untuk kenal pasti dan atasi kawasan hotspot serta risiko kemalangan tinggi.
- Kesedaran masyarakat dipertingkatkan; pengguna jalan raya dinasihat merancang perjalanan, patuhi peraturan dan utamakan keselamatan.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Superintenden Khairul Azhar Ismail berkata, pendekatan tersebut memberi tumpuan kepada tindakan awal dan pencegahan sebelum berlakunya insiden, khususnya berkaitan keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah.
Menurut beliau, pelaksanaan Op Selamat tahun ini bukan sahaja tertumpu kepada penguatkuasaan, malah bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab masing-masing dalam memastikan keselamatan diri, keluarga dan harta benda.
“Pendekatan ini digunakan supaya masyarakat memahami peranan mereka, bukan sahaja di jalan raya, malah keselamatan di rumah turut diberi perhatian,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Beliau berkata, JSPT turut memberi fokus kepada usaha mengurangkan kes kemalangan maut yang menunjukkan trend peningkatan, khususnya ketika musim perayaan apabila aliran trafik meningkat secara mendadak.
“Pendekatan awal diambil dengan mengenal pasti kawasan hotspot kesesakan dan berisiko tinggi kemalangan, di mana kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkepentingan lain bagi mengatasi masalah tersebut,” jelasnya.
Tambah beliau, pengurusan trafik yang berkesan memerlukan kerjasama semua pihak memandangkan jalan raya digunakan oleh pelbagai golongan termasuk pejalan kaki, penunggang basikal dan pengguna kenderaan bermotor.
Dalam pada itu, Supt. Khairul Azhar menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan dengan teliti, mematuhi peraturan lalu lintas serta sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus ketika memandu.
“Kami berharap kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan dapat dikurangkan. Kongsi perjalanan, kongsi keselesaan dan sentiasa utamakan keselamatan,” katanya.
Op Selamat Tahun Baharu Cina 2026 dilihat sebagai usaha berterusan PDRM bagi memastikan suasana perayaan yang selamat, lancar dan bebas tragedi untuk semua lapisan masyarakat.