
PETALING JAYA, 10 Februari – Pengalaman membesar di tengah konflik bersenjata menjadi pencetus kepada cita-cita sepasang kembar dari Syria, M. Omar Hamwi dan M. Khaled Hamwi, untuk menceburi bidang perubatan demi berkhidmat kepada manusia tanpa mengira bangsa dan sempadan.
- Menyaksikan penderitaan dan kematian akibat penyakit menginsafkan mereka untuk menceburi perubatan bagi membantu tanpa mengira bangsa.
- Pindah ke Malaysia pada 2015 membuka peluang pendidikan dan sokongan akademik dalam perubatan.
- Kedua-duanya dinobatkan antara Pelajar Terbaik Fakulti Perubatan; Khaled menerima Anugerah Presiden.
- Bercita-cita kembali berbakti kepada Syria sambil meneruskan latihan klinikal untuk menjadi doktor kompeten.
Bukan sekadar menyaksikan penderitaan, kedua-duanya turut melihat sendiri kesan penyakit serta kecederaan yang meragut nyawa, sekali gus meninggalkan kesan mendalam sehingga menanam azam untuk bergelar doktor.
“Bagi kami, membantu manusia bukan sekadar merawat penyakit, tetapi juga mendekati mereka yang sedang menderita,” kata Khaled.
Nasib keluarga mereka berubah apabila bapa, Profesor Dr M. Walid Hamwi, menerima tawaran sebagai tenaga pengajar perubatan di Kolej Universiti Lincoln, membuka laluan untuk mereka berpindah ke Malaysia pada 2015.
Sejak itu, Malaysia menjadi rumah kedua buat keluarga berkenaan. Omar dan Khaled menerima pendidikan awal di sini sebelum melanjutkan pengajian perubatan di Lincoln, sebuah universiti yang menampilkan tenaga akademik berpengalaman dalam bidang perubatan.
Usaha gigih mereka membuahkan hasil apabila kedua-duanya dinobatkan sebagai antara Pelajar Terbaik Fakulti Perubatan pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Lincoln 2026, dengan Khaled turut menerima Anugerah Presiden atas kecemerlangan akademik.
Walaupun lebih sedekad menetap di Malaysia, ikatan dengan tanah air tidak pernah terputus.
“Hati kami tidak pernah melupakan asal usul. Suatu hari nanti, kami berharap dapat kembali berbakti kepada negara sendiri dan memberi pertolongan yang sepatutnya,” ujar Khaled.
Omar pula berkongsi pengalaman hidup di Pantai Timur selepas keluarganya menetap di Kota Bharu.
“Saya sudah boleh bertutur dalam dialek Kelantan. Banyak makanan tradisional yang kami cubaM semuanya sedap, cuma budu belum lagi,” katanya sambil tersenyum.
Mengenai perancangan masa depan, kedua-duanya berhasrat meneruskan latihan dan pendedahan klinikal bagi mengukuhkan kompetensi sebagai doktor profesional.
“Bidang perubatan bagi kami bukan sekadar profesion, sebaliknya panggilan jiwa yang tersemat sejak kecil,” kata Khaled.
Selain cemerlang akademik, Omar turut aktif mewakili universiti dalam pelbagai program kebangsaan. Antara pencapaiannya termasuk memenangi tempat pertama ‘5th Intervarsity Parasitology Quiz & Oratorical Competition 2022’, melibatkan penyertaan universiti tempatan serta Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Kisah Omar dan Khaled menjadi simbol harapan bahawa pendidikan mampu mengubah nasib, membina ketabahan, dan melahirkan insan yang berbakti kepada kemanusiaan.
