
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Olahraga Malaysia (OM) pada Rabu menyelesaikan bayaran hadiah ganjaran kepada bekas atlet olahraga yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada era kegemilangan masing-masing.
- OM menyampaikan ganjaran RM65,000 kepada bekas olahragawan dan olahragawati nasional semasa Malam Anugerah Olahraga Malaysia 2026.
- Penerima termasuk tokoh sukan legenda seperti M. Jegathesan, Gladys Chai, Rabuan Pit dan lain-lain yang dihargai jasa mereka.
- MOM menyeru agar pengorbanan atlet terdahulu terus dikenang; kejayaan mereka bukti semangat, jati diri dan patriotisme.
Jumlah keseluruhan ganjaran bernilai RM65,000 itu disampaikan kepada bekas atlet berkenaan pada Malam Anugerah Olahraga Malaysia 2026.
Antara penerima ganjaran tersebut ialah Tan Sri Dr. M. Jegathesan, Gladys Chai Ng Mei, Khoo Chong Beng, V. Subramaniam, Datuk Rabuan Pit, Datuk M. Rajamani dan Datuk Zaiton Othman.
Datuk M. Rajamani berkata, beliau bersyukur akhirnya menerima ganjaran berkenaan selepas menunggu hampir enam dekad.
“Penantiannya sangat lama dan nilai wang itu juga sudah menyusut, namun saya berterima kasih kepada pihak OM kerana masih menghargai jasa kami,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, jasa dan pengorbanan atlet terdahulu wajar terus dikenang.
“Mereka mungkin berdepan kekangan dari segi persiapan dan ganjaran, namun kaya dengan pengorbanan, perjuangan serta semangat patriotisme.
Ada kalanya misi yang digalas dilihat mustahil, namun merekalah yang membuktikan bahawa perkara mustahil boleh dicapai dengan kekuatan jati diri dan motivasi,” katanya.
Dalam majlis sama, OM turut menyampaikan ganjaran berjumlah RM32,500 kepada atlet olahraga negara yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi tempoh 2022 hingga 2025.