Geng Kapten Praba: Polis buru saki-baki ahli kumpulan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar/RTM

BATU CAVES, 31 Januari – Polis sedang memburu saki-baki ahli kumpulan penjenayah Geng Kapten Praba termasuk dalang utamanya yang dipercayai berada di luar negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis memburu saki-baki ahli Geng Kapten Praba termasuk dalang utama dipercayai melarikan diri ke luar negara.
  • Tiga suspek diekstradisi dari Mumbai dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang selepas tiba di KLIA.
  • PDRM menjalankan operasi keselamatan dan program kepolisan komuniti sempena sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, memberi amaran keras kepada semua suspek yang masih bebas supaya menyerah diri kerana mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Kami sedang menjejaki mereka. Kami percaya sebahagian daripada mereka telah melarikan diri ke luar negara menggunakan saluran tidak rasmi.

“Namun satu perkara yang saya ingin tegaskan, mereka boleh lari tetapi tidak boleh bersembunyi selama-lamanya daripada Polis Diraja Malaysia. Kami pasti akan menahan mereka,” katanya demikian selepas menghadiri program kepolisan komuniti di Kuil Sri Subramaniar Swamy, di sini, hari ini, bersempena sambutan Thaipusam.

Sebelum ini, media melaporkan tiga ahli Geng Kapten Praba telah berjaya diekstradisi dari Mumbai, India dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, tiga hari lalu.

Ketiga-tiga suspek tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 7 pagi selepas diterbangkan pulang menggunakan penerbangan komersial dari Mumbai sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan, dengan kawalan keselamatan ketat oleh beberapa pegawai PDRM.

Setibanya di KLIA, suspek dibawa terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi proses dokumentasi sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30-an itu berada dalam Senarai Notis Merah Interpol dan ditempatkan di bawah kawalan keselamatan tahap tertinggi berikutan risiko dan ancaman susulan penahanan mereka.

Mengulas mengenai program kepolisan komuniti di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Datuk M. Kumar berkata, PDRM turut menyediakan makanan dan minuman percuma kepada semua penganut Hindu yang hadir untuk sembahyang bersempena sambutan Thaipusam.

“Seramai 88 pegawai dan anggota bertugas. Bermula hari ini sehingga pukul 8 atau 9 malam esok. Kepada pengunjung yang hadir, ikutlah adat dan kehendak agama.

“Ini bukan majlis suka ria tetapi ia adalah majlis yang berkonsepkan keagamaan. Ada perkara yang patut dibuat dan ada yang dilarang,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan