
KANGAR, 31 Januari -Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerima sumbangan zakat RM150,000 daripada Affin Islamic Bank Berhad dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Besar, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, di sini.
- Penyerahan zakat RM150,000 diterima oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
- Affin Islamic Bank sumbang set pakaian sekolah dan beg kepada 430 pelajar dari 11 sekolah.
- Bank juga menyalurkan RM50,000 untuk Bantuan Prihatin Banjir Negeri Perlis.
Majlis penyerahan tersebut diterima oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Affin Islamic Bank Berhad, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin.
Selain sumbangan zakat, Affin Islamic Bank Berhad turut menyampaikan sumbangan set lengkap pakaian sekolah berserta beg kepada 430 orang pelajar daripada 11 buah sekolah di sekitar negeri Perlis, sebagai usaha meringankan beban keluarga kurang berkemampuan menjelang sesi persekolahan.
Dalam majlis sama, pihak bank turut menyalurkan sumbangan Bantuan Prihatin Banjir Negeri Perlis berjumlah RM50,000 sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negeri itu pada penghujung November lalu.