
KOTA BHARU, 29 Januari -Tahap kemajuan keseluruhan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer mencapai 90.81 peratus setakat Disember tahun lalu.
- Kemajuan keseluruhan Projek ECRL mencapai 90.81 peratus setakat Disember, melebihi sasaran 90 peratus.
- Kerja utama siap termasuk pengorekan 41 terowong, hampir 500 km landasan dan lebih 12,000 tiang OCS.
- Stesen Kota Bharu 82.06 peratus siap; ujian dan pentauliahan dijangka diselesaikan sebelum operasi dimulakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pencapaian itu disifatkan membanggakan kerana mengatasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan bagi tempoh berkenaan.
Menurut beliau, kemajuan tersebut didorong penyiapan kerja pengorekan melibatkan kesemua 41 terowong, pemasangan hampir 500 kilometer landasan, serta pemasangan lebih 12,000 tiang Overhead Catenary System bagi membekalkan tenaga elektrik kepada sistem tren.
“Dalam beberapa bulan berbaki ini, kita akan pastikan semua persiapan diselesaikan menjelang Jun supaya ujian dan pentauliahan dapat dilaksanakan.
Proses ujian dan pentauliahan ini perlu dibuat secara menyeluruh, termasuk ujian integrasi sistem oleh kontraktor serta pengesahan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat sebelum dibuka kepada orang ramai,” katanya.
Beliau ditemui media selepas melawat ECRL Feeder Station 01 dan Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Mengulas lanjut, Loke berkata, pembinaan Stesen ECRL Kota Bharu kini mencatat kemajuan 82.06 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun ini.
Stesen berkenaan dibina berteraskan identiti tempatan dengan mengetengahkan konsep Rumah Meleh Melayu dan Bunga Ketam Guri.
Ia dilengkapi kemudahan moden seperti eskalator, lif, kawasan naik turun penumpang, lebih 500 petak parkir serta laluan pejalan kaki berbumbung.
Pada masa sama, Feeder Station 01 di Tunjong yang membekalkan elektrik 132 kilovolt telah berjaya diaktifkan lebih awal daripada jadual asal, sekali gus membolehkan kerja ujian dan pentauliahan sistem dilaksanakan lebih awal.
Setakat ini, jajaran ECRL sepanjang 43 kilometer di Kelantan mencapai kemajuan 96.67 peratus, melibatkan pembinaan Stesen Kota Bharu serta Stesen Pasir Puteh yang turut menampung perkhidmatan kargo.
Sementara itu, Loke berkata, harga tambang perkhidmatan ECRL akan diumumkan sebelum operasi dimulakan, yang dijangka seawal Januari tahun depan.
“Penetapan kadar tambang itu perlu mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat sebelum diumumkan kepada orang ramai.
Namun, keutamaan ketika ini adalah memastikan semua kerja pembinaan serta pemasangan sistem ECRL berjalan lancar mengikut jadual,” katanya lagi.