Nasi Kandar antara 16 Warisan Negeri Pulau Pinang

Seorang lelaki menunjukkan hidangan nasi kandar yang diminati semua lapisan masyarakat / BERNAMA

GEORGE TOWN, 29 Januari -Buat julung kalinya, 16 item warisan kebudayaan tidak ketara Pulau Pinang diwartakan sebagai Warisan Negeri bawah Enakmen Warisan Negeri 2011.

RINGKASAN BERITA AI
  • 16 item warisan tidak ketara Pulau Pinang diwarta di bawah Enakmen Warisan Negeri 2011 untuk dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.
  • Sepuluh makanan tradisional termasuk nasi kandar, pasembor dan mi hokkien diiktiraf sebagai warisan negeri.
  • Enam budaya termasuk Budaya Nasi Kandar, Budaya Kopitiam dan Perarakan Thaipusam turut tersenarai dan akan diisytihar rasmi pada program Kenduri Warisan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu bertujuan memelihara nilai sejarah serta memperkukuh identiti budaya negeri berkenaan agar terus diwarisi generasi akan datang.

Jelas beliau, antara yang tersenarai merupakan hidangan ikonik dan perayaan besar yang menjadi identiti rakyat Pulau Pinang sejak kurun ke-19.

“Proses saringan dibuat secara terperinci oleh jawatankuasa pakar sebelum 10 makanan tradisional dan enam item warisan budaya tidak ketara diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di KOMTAR, hari ini.

Makanan tradisional yang diwartakan ialah nasi kandar, pasembor, char kueh kak, oh chien, kerabu bihun, mi hokkien, mi udang, mi sotong, mi jawa dan roti benggali.

Sementara itu, enam item warisan budaya tidak ketara merangkumi Budaya Nasi Kandar, Budaya Kopitiam, Perarakan Thaipusam, Perarakan Chingay, Perayaan St. Anne di Bukit Mertajam serta Loghat Bahasa Tanjong Pulau Pinang.

Kesemua item berkenaan dijangka diisytiharkan secara rasmi menerusi program Kenduri Warisan yang dijadual berlangsung pada Mei depan.