
NAPLES, 29 Januari – Napoli tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas 2-3 kepada Chelsea di laman sendiri pada Rabu, dengan Joao Pedro menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk mengesahkan kemaraan pasukan pelawat ke pusingan 16 terbaik.
- Chelsea mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas menang 3-2 ke atas Napoli di Naples.
- Napoli memimpin 2-1 sebelum rehat namun tempo menurun dan akhirnya tersingkir.
- Jurulatih Napoli Antonio Conte bangga dengan pasukannya; pengendali Chelsea Liam Rosenior puji komitmen pemain.
Chelsea terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Enzo Fernandez pada minit ke-19.
Namun Napoli bangkit dengan dua gol dalam tempoh 10 minit hasil jaringan Antonio Vergara dan Rasmus Hojlund untuk mendahului sebelum rehat.
Bagaimanapun, tempo permainan Napoli menurun selepas rehat dan Chelsea mengambil kesempatan. Pedro menyamakan kedudukan pada minit ke-61 sebelum menjaringkan gol kemenangan lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Chelsea menamatkan fasa liga dengan slot ke pusingan kalah mati, manakala Napoli gagal meneruskan cabaran meskipun memerlukan kemenangan untuk kekal bersaing.
Ketua jurulatih Napoli, Antonio Conte berkata beliau bangga dengan prestasi anak buahnya dan percaya pasukan itu tidak layak tewas.
Sementara itu pengendali Chelsea, Liam Rosenior menyuarakan kepuasan terhadap komitmen pemainnya dan berharap lebih banyak malam cemerlang seperti itu pada masa akan datang. -REUTERS