Piala Shopee: Xisco percaya keupayaan JDT, yakin tundukkan Shan United

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz pada sidang media perlawanan peringkat Kumpulan B Piala Shoopee menentang Shan United FC di Stadium Sultan Ibrahim hari ini./BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 28 Januari – Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz optimis anak buahnya akan menampilkan aksi terbaik dalam usaha meraih tiga mata penuh menentang kelab Myanmar, Shan United pada perlawanan keempat Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Xisco tekankan kepentingan menyerang dan mencipta lebih banyak peluang untuk raih kemenangan dan layak ke separuh akhir.
  • Beliau belum sahkan kesebelasan melibatkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel untuk perlawanan esok.
  • Shan United dianggap pasukan inferior tetapi masih berazam beri tentangan kuat menentang JDT.

Jelas beliau, tiga mata tersebut penting bagi memastikan JDT layak ke saingan separuh akhir.

“Fokus perlawanan esok adalah bagaimana kami (JDT) memulakan aksi.

“Kami perlu lebih banyak menyerang dalam kawasan lawan kerana penting untuk JDT mencipta peluang menamatkan aksi dengan kemenangan dalam masa sama kami perlu mencipta
banyak peluang. Esok adalah situasi penting untuk mendapat keputusan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau masih enggan mengesahkan samada Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel akan diturunkan dalam aksi menentang Shan United.

Sementara itu, ketua jurulatih Shan United, Han Win Aung tetap berharap pemainnya akan menampilkan aksi terbaik menentang JDT yang dianggap kelab terbaik di Asia Tenggara.

“JDT adalah pasukan nombor satu di Asia Tenggara, jadi kami perlu menampilkan aksi terbaik esok.

“Kami cuba memenangi perlawanan tetapi jelas terdapat jurang di dalam perlawanan peringkat ini tetapi kami akan mencuba yang terbaik,” jelas Han Win Aung.

Selepas tiga perlawanan, JDT kini berada di tangga kedua dengan 7 mata manakala Shan United masih gagal mengutip sebarang mata dan berada di kedudukan terakhir kumpulan B.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan