
KUALA LUMPUR 27 Januari – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA) melancarkan inisiatif Bakul Buah-Buahan Tempatan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2026, sebagai usaha mempromosikan hasil pertanian tempatan kepada masyarakat.
- Pelancaran inisiatif Bakul Buah-Buahan Tempatan sempena Tahun Baru Cina 2026 untuk promosikan hasil pertanian tempatan.
- Objektif galakkan penggunaan buah tempatan sebagai alternatif kepada import, termasuk pengurangan kebergantungan limau mandarin.
- Tawaran tiga pakej bakul bernilai RM68, RM128 dan RM228 memuatkan pelbagai buah tempatan dan produk berasaskan buah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan penggunaan buah-buahan tempatan sebagai alternatif kepada buah-buahan import, khususnya limau mandarin yang setiap tahun melibatkan nilai import sehingga RM400 juta.
“Satu inisiatif baharu dengan mempromosikan buah-buahan tempatan sebagai alternatif buah tangan sempena Tahun Baru Cina. Setiap tahun, Malaysia bergantung kepada pengimportan limau mandarin yang nilainya boleh mencecah sehingga RM400 juta.
“Hakikatnya, negara kita menghasilkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan yang juga sesuai dijadikan hadiah perayaan. Kadar Sara Diri (SSR) buah-buahan tempatan mencecah kira-kira 80 peratus pada tahun 2025, dengan banyak jenis buah mencapai 100 peratus SSR seperti durian, betik, jambu batu, nanas, pisang, tembikai dan lain-lain”, katanya demikian dalam sidang media selepas melancarkan dan mengedarkan Bakul Buah-Buahan Tempatan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2026 di Parlimen.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian, Cha Kee Chin serta Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA) yang diketuai Koh Lain Ann.
Inisiatif berkenaan juga selari dengan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan yang dilaksanakan oleh KPKM dengan kerjasama FAMA sejak Julai 2025.
Terdapat tiga pakej bakul buah-buahan tempatan bernilai RM68, RM128 dan RM228 yang ditawarkan kepada orang ramai oleh Persatuan Gabungan Pekebun Buah-Buahan Malaysia (FMFFA).
Antara buah-buahan yang dimuatkan dalam bakul berkenaan ialah limau bali, ciku, buah naga, markisa, jambu batu, pisang, nanas, tembikai mini serta produk berasaskan buah-buahan tempatan.