Warga emas hilang di Engkilili, operasi SAR digerakkan – JBPM

Foto RTM

ENGKILILI, 5 Januari– Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumah panjang ketika menghadiri upacara sembahyang di Rumah Baie, Merio, Tambak Engkilili, Sabtu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencarian keluarga dan penduduk sekitar rumah panjang gagal menemui mangsa.
  • Laporan polis dibuat pada petang Ahad, 4 Januari.
  • Operasi SAR digerakkan pagi tadi untuk mencari lelaki warga emas tersebut.
  • Enam anggota BBP Sri Aman terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, mangsa dikenali sebagai Chin Shin Fah, 60 tahun, dikatakan keluar dari rumah panjang kira-kira pukul 11.30 malam dan tidak pulang semula selepas itu.

“Ahli keluarga bersama penduduk telah membuat pencarian di sekitar rumah panjang berkenaan namun gagal menjumpainya,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, laporan polis mengenai kes tersebut kemudiannya dibuat pada petang Ahad (4 Januari).

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pagi tadi, melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman.