
KUALA LUMPUR, 27 Januari– Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyasarkan tahun 2026 sebagai tempoh untuk melonjakkan kualiti kandungan dan penguasaan platform digital, selaras dengan tema “Continue to Raise The Bar” yang dibentangkan pada Majlis Town Hall Jabatan Penyiaran Malaysia.
- Fokus kepada kandungan berimpak dan bermakna, bukan hanya jumlah program atau penonton.
- Pengukuhan platform digital RTM Klik sebagai keutamaan untuk capaian lebih meluas dan pantas.
- Memperkasa usaha pemasaran bagi tingkatkan pendapatan dan kurangkan kos operasi sambil kekalkan relevan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata fokus utama adalah menghasilkan kandungan yang lebih berimpak dan bermakna, bukan sekadar mengejar jumlah program atau angka penonton, seiring perubahan landskap penyiaran dalam era digital.
“Apa yang paling penting ialah menghasilkan kandungan yang berimpak dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, di samping memastikan RTM terus kukuh dan berdaya saing dalam dunia digital. Justeru, pengukuhan RTM Klik perlu terus diberi penekanan,” kata Datuk Suhaimi kepada pemberita hari ini, di Angkasapuri Kota Media.
Tambahnya, pengukuhan RTM Klik terus menjadi keutamaan sebagai platform digital utama RTM bagi memastikan kandungan dapat diakses dengan lebih meluas dan pantas oleh pelbagai lapisan penonton.
Setakat ini, RTM Klik merekodkan lebih 6.8 juta muat turun, selain mencatatkan jumlah tontonan tinggi menerusi capaian terus tanpa aplikasi, sekali gus memperluas ekosistem penonton digital RTM.
Perkembangan itu membuka peluang besar kepada RTM untuk meningkatkan penjanaan pendapatan, termasuk melalui strategi pemasaran dan pengiklanan yang lebih berkesan bagi mengurangkan kos operasi dan memastikan kemampanan kewangan.
“Bagi tahun 2026, usaha pemasaran perlu dipergiat supaya pendapatan kita dapat ditingkatkan dan kos operasi dapat dikurangkan. Namun yang paling penting, kandungan yang disampaikan mestilah kekal relevan serta mempunyai kesan positif kepada penonton,” ujar Datuk Suhaimi.
Sepanjang 2026, RTM turut merancang pelbagai program berskala besar termasuk program khas Hari Raya bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, projek istimewa bersama Datuk Jamal, Citra Reka Busana serta sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan pendekatan lebih segar.
Dengan penekanan kepada kandungan berkualiti, pengukuhan RTM Klik dan peningkatan tontonan digital, RTM optimis untuk terus kekal relevan, berdaya saing dan mendahului landskap penyiaran digital negara.