
KOTA TINGGI, 27 Januari – Jumlah penduduk terjejas susulan kebakaran tanah gambut di Kota Tinggi meningkat kepada 124 orang, daripada 45 keluarga.
- Seramai 124 penduduk daripada 45 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Taman Bayu Damai dan SK Sungai Kapal.
- Kebakaran tanah gambut membesar daripada 5.26 hingga 12.14 hektar akibat cuaca kering dan angin kencang.
- Operasi pemadaman sukar di Sektor A kerana sumber air jauh; usaha tertumpu di Sektor B yang aktif.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman memaklumkan kesemua mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal.
Seramai 89 orang daripada 28 keluarga di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, manakala 35 orang lagi ditempatkan di SK Sungai Kapal.
Kebakaran tanah gambut itu merebak daripada 5.26 hektar kepada 12.14 hektar berikutan keadaan cuaca kering dan angin kencang, menyebabkan asap tebal terus menjejaskan kawasan perumahan.
Operasi memadam di Sektor A terhalang kerana sumber air jauh dan bekalan terhad.
Sementara petugas menumpukan usaha di Sektor B yang lebih aktif dengan kebakaran merebak cepat.