
PERMATANG PAUH, 24 Januari- Prestasi ringgit kini berada pada tahap membanggakan apabila diiktiraf sebagai antara mata wang dengan prestasi terbaik di Asia.
- Ringgit diiktiraf antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, mencerminkan kejayaan dasar ekonomi negara.
- Pengukuhan mata wang disebabkan tatakelola baik, kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi.
- Usaha membanteras rasuah, pentadbiran cekap dan keselamatan negara penting untuk mengekalkan prestasi ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengukuhan nilai ringgit itu membuktikan berkesanan dasar tatakelola, kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.
Beliau menambah, pencapaian itu turut disokong oleh usaha berterusan kerajaan memastikan keamanan negara, kecekapan pentadbiran, serta ketegasan dalam membanteras rasuah dan penyelewengan.
“Ringgit mencatatkan prestasi terbaik di Asia, bukan berbanding dengan negara-negara jiran tetapi seluruh Asia.
“Oleh sebab itu, kita kena kerja kuat, jaga negara dan ia bermula dengan tatakelola. Jangan ada duit lebih, masuk dalam poket, ambil komisen,” katanya.
Beliau berucap pada Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir di sini hari ini.
Pada Jumaat, ringgit melepasi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992, dengan kali terakhir ringgit berada pada paras itu pada 18 Jun 2018 yang mencecah 3.9960/9990.