
SEBERANG JAYA, 24 Januari – Pembinaan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya (HSJ) disifatkan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan Seberang Perai.
- Perkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatan awam dengan tambahan katil dan dewan bedah.
- Memberi impak sosial dan ekonomi termasuk pembukaan peluang pekerjaan.
- Meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan negara.
- Selari dengan Visi Penang 2030 menekankan kesejahteraan rakyat sebagai teras pembangunan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut bukan sahaja memperkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatan awam, malah memberi impak sosial dan ekonomi termasuk pembukaan peluang pekerjaan dan pengukuhan ekosistem perkhidmatan kesihatan.
Selain itu, projek berkenaan turut meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan negara.
“Projek pembangunan bangunan baharu HSJ ini selari dengan aspirasi Visi Penang 2030, yang menekankan kesejahteraan rakyat sebagai teras pembangunan.
“Kesihatan yang baik bukan sekadar keperluan asas, tetapi juga intipati kepada produktiviti ekonomi, ketahanan sosial dan kualiti hidup yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu HSJ, di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan bangunan berkenaan pada majlis yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Projek bernilai RM371 juta itu menambah kapasiti sebanyak 316 katil baharu dan enam dewan bedah.