
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) mengesahkan kelab itu kini bebas sepenuhnya daripada sebarang sekatan perpindahan pemain selepas menerima surat pengesahan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 22 Januari lalu.
- FIFA mengesahkan penarikan balik sekatan perpindahan pemain terhadap KRWFC secara kekal selepas prosiding ditutup.
- Kelab menegaskan ia tidak terlibat langsung dengan isu tuntutan yang menyebabkan sekatan sebelum ini.
- Pengesahan membolehkan KRWFC mendaftarkan pemain baharu untuk baki saingan musim 2025/2026.
Menurut kenyataan kelab, FIFA memaklumkan sekatan perpindahan pemain yang dikenakan pada 19 Disember 2025 telah ditarik balik secara kekal selepas prosiding berkaitan kes tuntutan tersebut ditutup.
“FIFA menjelaskan pertanyaan kepada pihak Pol Corpas Cuatrecasa berhubung kes tuntutan berkenaan tidak menerima sebarang maklum balas, sekali gus menyebabkan prosiding semasa melibatkan Kelantan Red Warrior FC ditutup dan larangan pendaftaran pemain baharu ditarik balik sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
Pihak pengurusan kelab turut menegaskan isu berkenaan sepatutnya tidak dikaitkan dengan KRWFC kerana kelab itu tidak terlibat secara langsung dengan permasalahan seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Keadaan ini telah menyebabkan banyak urusan kelab, termasuk proses pendaftaran pemain, tergendala dan memberi kesan kepada perancangan pasukan,” menurut kenyataan sama.
Sehubungan itu, kelab menyifatkan keputusan FIFA sebagai satu kelegaan besar dan langkah penting bagi memastikan kelangsungan operasi pasukan.
Selaras dengan pembukaan tempoh perpindahan kedua pemain, pengesahan tersebut membolehkan KRWFC mendaftarkan pemain baharu bagi menghadapi baki saingan musim 2025/2026.