Ringgit terus kukuh disokong sentimen global, asas ekonomi domestik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR , 23 Januari – Pengukuhan nilai ringgit sejak awal tahun mencerminkan sentimen pasaran yang semakin positif, disokong oleh faktor luaran yang lebih stabil serta prestasi ekonomi domestik yang kukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit mengukuh disokong sentimen global yang semakin stabil.
  • Prestasi ekonomi domestik melebihi jangkaan, menyokong pengukuhan mata wang.
  • Bank Negara kekalkan OPR 2.7 persen, meningkatkan keyakinan pelabur.
  • Aliran masuk modal asing ke bon dan ekuiti memperkukuh permintaan ringgit.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, setakat ini ringgit telah mencatatkan kenaikan sekitar 1.4 peratus sejak awal Januari, sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik dalam kalangan negara Asia.

Perkembangan geopolitik global yang semakin reda, khususnya melibatkan hubungan Amerika Syarikat dan Eropah, telah membantu meredakan ketidaktentuan pasaran dan menyumbang kepada sentimen yang lebih positif terhadap mata wang serantau.

Pada masa sama, prestasi ekonomi negara yang melepasi jangkaan, turut menjadi pemangkin utama kepada pengukuhan ringgit.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2025 mencecah 5.7 peratus, manakala keseluruhan tahun mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus, lebih tinggi daripada julat unjuran kerajaan.”

“Keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.7 peratus, disertai penilaian ekonomi yang positif, turut mengukuhkan keyakinan pelabur,” katanya ketika dihubungi RTM.

Menurut beliau, jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat dijangka merapatkan jurang kadar faedah antara kedua-dua negara, sekali gus menjadikan aset kewangan Malaysia lebih menarik kepada pelabur asing.

Aliran masuk modal berterusan, khususnya dalam pasaran bon dan ekuiti, menjadi petunjuk jelas terhadap keyakinan tersebut.

Sekiranya momentum semasa dapat dikekalkan, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh sepanjang tahun 2026. Setakat petang tadi, ringgit mencecah RM3.99 berbanding dolar Amerika.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan