
PETALING JAYA, 21 Januari – Legenda Piala Dunia dari Brazil, Gilberto Silva berharap pemain dan peminat bola sepak tempatan terus percaya dengan impian Malaysia untuk beraksi di pentas Piala Dunia, meskipun skuad kebangsaan kini berdepan fasa sukar.
- Gilberto menggesa pemain dan peminat terus percaya pada impian Malaysia layak ke Piala Dunia.
- Kepercayaan diri, sokongan padu dan kerja keras penting untuk bina pasukan lebih kukuh.
- Kehadiran trofi memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai bola sepak dan berusaha.
Menurut bekas pemain juara Piala Dunia 2002 itu, kepercayaan terhadap kemampuan diri serta sokongan padu daripada seluruh ekosistem bola sepak merupakan elemen penting bagi membina pasukan yang lebih kukuh.
“Sentiasa percaya pada diri sendiri dan jangan biarkan kritikan menjatuhkan semangat. Teruskan bekerja keras kerana kejayaan tidak datang dengan mudah,” katanya ketika ditemui semasa siri Jelajah Trofi Piala Dunia, di sini hari ini.
Gilberto turut menegaskan peranan besar peminat dan masyarakat dalam menyokong pemain bukan sahaja ketika menang.
“Bola sepak adalah kerja keras untuk semua pihak. Apabila kita saling menyokong, segalanya menjadi lebih mudah. Kekalahan juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk menjadi lebih baik,” jelasnya.
Tambah beliau, kegagalan perlu dijadikan medan untuk memperbaiki kelemahan dan membentuk mentaliti lebih matang, sekali gus mengurangkan kesilapan pada masa hadapan.
Mengulas kehadiran trofi Piala Dunia di Malaysia, Gilberto berkata simbol kejayaan tersebut membawa makna besar dalam memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus memiliki impian.
“Trofi ini melambangkan harapan dan inspirasi. Ia memberi motivasi kepada pemain dan kanak-kanak, lelaki dan perempuan, untuk mencintai bola sepak dan sentiasa meningkatkan diri,” katanya.
Beliau berharap pendedahan tersebut mampu menyemarakkan minat sukan bola sepak dalam kalangan generasi muda dan seterusnya merealisasikan impian melihat Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.
Kali terakhir trofi Piala Dunia dibawa ke Malaysia pada 12 tahun lalu dan kehadiran semula trofi ikonik itu ternyata menggamit nostalgia selain menghangatkan lagi bahang penganjuran Piala Dunia 2026 pada Jun ini.
Lebih manis, Malaysia mendapat penghormatan apabila dipilih sebagai destinasi pertama di rantau ASEAN bagi siri Jelajah Trofi Piala Dunia itu.