
KUALA LUMPUR, 18 Januari- Dua tugasan antarabangsa menanti pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), tahun ini.
- Dua tugasan antarabangsa menanti skuad AMD B-16: Kejuaraan B-16 ASEAN 2026 dan Kelayakan Piala Asia B-17 2027.
- Shukor menerima cabaran membimbing pemain AMD serta mengambil pemain luar jika perlu untuk persiapan.
- Beliau bertekad menyumbang pengalaman kerjaya untuk membentuk pelatih menjadi pemain bola sepak sebenar.
- NFDP kini diurus teknikal oleh FAM; 198 pelatih usia 13–17 memulakan sesi latihan 2026 di Gambang.
Menurut Ketua jurulatih skuad AMD Bawah 16 tahun (B-16), Shukor Adan, perlawanan itu melibatkan Kejuaraan B-16 ASEAN 2026 pada April dan Kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada November.
“Jadi saya menyahut cabaran ini bersama dengan anak-anak ini dan mungkin beberapa lagi pemain dari luar AMD untuk membuat persiapan.
“Apabila saya diberi peluang membimbing pasukan AMD B-16 ini, ia satu kepercayaan yang luar biasa sebenarnya kerana kita tahu NFDP ini adalah program elit untuk pasukan muda negara,” kata Shukor.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata demikian menerusi video yang dimuat naik di Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Beliau tekad akan mencurahkan pengalaman sepanjang karier bola sepak kepada pemain generasi baharu, bagi membolehkan pelatih menjadi pemain bola sepak sebenar dan lebih baik.
Shukor juga berharap semua rakan sekeliling sedia ada dapat membantu pelatih di AMD menjadi pemain bola sepak yang sebenar.
Dilaporkan, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kini diambil alih dari segi teknikal oleh FAM.
Seramai 198 orang pelatih dari peringkat umur 13 hingga 17 tahun telah memulakan sesi 2026 dengan latihan pertama di AMD, Gambang, Pahang, Isnin lalu.